Soalan Lazim

Bagaimana kami boleh membantu?
KasihnITa-Apakah bentuk bantuan atau sokongan yang ditawarkan melalui KasihnITa?

KasihnITa bukan program berbentuk bantuan kewangan. Ia adalah program inisiatif reformasi yang menawarkan tiga (3) inisiatif utama iaitu modul kemahiran perundangan, modul pengurusan kewangan dan modul pembangunan potensi menjadi pilihan solusi yang praktikal kepada ibu tunggal.


Pertanyaan Permohonan Bantuan JKM bulanan dan Bantuan Segera
Jenis Aduan: Bantuan Kebajikan/Fakir Miskin

- Untuk makluman tuan/puan bantuan yang diberikan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah berbentuk bantuan kewangan. Namun begitu, permohonan boleh dibuat dengan menggunakan 3 kaedah iaitu:

1. Secara atas talian menerusi link ini: http://ebantuanjkm.jkm.gov.my/spbk/login.jsp
2. Mengambil borang yang bernama JKM 18 di mana-mana JKM yang berhampiran. Isi maklumat dengan lengkap & hantarkan semula borang tersebut beserta dengan dokumen sampingan yang diperlukan kepada JKM tersebut.
3. Memuat turun borang JKM 18 menerusi laman sesawang JKM: https://www.jkm.gov.my/jkm/uploads/files/JPOKU/BORANG%20PERMOHONAN%20JKM%2018.pdf
Sekiranya layak, pihak tuan/puan akan diberikan bantuan tersebut secara bulanan sepanjang satu tahun.
4. Permohonan bantuan segera melalui aplikasi mobil. Bantuan akan dipertimbangkan setelah siasatan selesai.


KasihnITa-Adakah kerjasama dengan agensi lain dalam pelaksanaan KasihnITa?

KasihnITa akan dilaksanakan secara berfasa mengikut zon bermula pada bulan Ogos sehingga Disember tahun 2025 dengan kerjasama dan tenaga pakar yang berpengalaman daripada Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Pakar Psikologi Jiwa Damai. Permohonan pendaftaran kasihnITa telah dibuka pada 16 Mei 2025 sehingga 31 Julai 2025.

Pertanyaan Permohonan Kaunseling
 Jenis Aduan: Tekanan Emosi

- Untuk makluman sesi kaunseling dibawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mempunyai prosedur berikut:
1. Sesi kaunseling secara bersemuka dengan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berhampiran dengan kediaman tuan/puan. Boleh hubungi terlebih dahulu pihak JKM untuk bertanyakan tentang slot lapang kaunselor untuk menempah temujanji terlebih dahulu. Permohonan melalui aplikasi mobile juga boleh dibuat untuk kaunseling bersemuka.
2. Selain itu, tuan/puan juga boleh menghubungi Talian Kasih di talian 15999 (panggilan percuma dan 24 jam) bagi membuat permohonan khidmat kaunseling ATAU membuat permohonan kaunseling dalam Aplikasi Talian Kasih.
KasihnITa-Bagaimana impak KasihnITa diukur?

Impak KasihnITa adalah apabila ibu tunggal yang menyertai program ini dapat dibantu membuat tuntutan hadhanah, menuntut harta sepencarian, menuntut fasakh/cerai, menuntut nafkah anak, tuntutan mutaah serta berdaftar dengan program Bantuan Guaman Syarie (BAGUS) untuk membantu mereka mengendalikan kes di mahkamah.

Ada juga ibu tunggal yang telah berjaya meningkatkan pendapatan dan tingkah laku kewangan kepada yang lebih baik, meningkatkan keupayaan perancangan dan pengurusan kewangan serta peserta juga telah didaftarkan di bawah Program Pengurusan Kredit.

Ada ibu tunggal yang lebih jelas tentang potensi diri dan apa yang sepatutnya menjadi fokus kehidupan dan lebih bersemangat untuk mencapai impian.

Apakah yang dimaksudkan dengan gangguan seksual?

Gangguan seksual adalah apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual, dalam apa-apa bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau merupakan suatu ancaman kepada kesejahteraannya.

KasihnITa-Adakah terdapat kisah kejayaan KasihnITa yang telah meningkatkan taraf hidup selepas menyertai program ini?

Terdapat kisah kejayaan

Puan SITI ZUBAIDAH BINTI MOHAMAD yang berjaya melonjakkan pendapatan dan kesihatan mentalnya lebih stabil. Pendapatan meningkat tiga kali ganda dari RM1,000 kepada RM3,000 sebulan (tidak termasuk musim perayaan). Beliau menjalankan perniagaan menjahit di kedai sendiri dan menggaji seorang pekerja, yang juga membantu mengurangkan stres kerja. Beliau juga berjaya membayar hutang secara konsisten (RM500 sebulan).

Seterusnya Puan UMMI UZMA ABDULLAH yang memilih kerjaya yang lebih fleksibel dan berdikari. Beliau memilih untuk berkebun sebagai kerjaya fleksibel supaya dapat menjaga ayah di kampung. Walaupun menghadapi banjir yang memusnahkan tanaman, beliau berusaha bangkit semula dengan menanam keladi (menunggu hasil dalam 6 bulan). Juga mengambil upah menghantar anak buah ke sekolah, menunjukkan usaha berganda untuk menyara keluarga.

Seterusnya Puan MASLINA MAHBU yang telah pulih kesihatannya dan menambah pendapatan melalui mengajar ilmu agama. Mula mengajar kelas mengaji, yang kini menjana pendapatan RM500– 600 sebulan – satu pencapaian ketara pasca pemulihan. Walaupun masih berdepan tuntutan rumah oleh bekas suami, beliau menunjukkan ketahanan dan kemajuan kerjaya yang positif.

Adakah TAGS mempunyai kuasa perundangan untuk menyiasat aduan pengadu?

TAGS tidak mempunyai bidang kuasa perundangan di bawah Akta 840 untuk bertindak atas sesuatu aduan. TAGS menyediakan satu saluran alternatif kepada mahkamah sivil dengan cara yang mudah, murah dan cepat untuk mangsa gangguan seksual mengambil tindakan terhadap pelaku gangguan seksual bagi mendapatkan tebus rugi di atas kehilangan atau apa-apa kerosakan yang ditanggung oleh mangsa akibat daripada gangguan seksual yang dialami.

kasihnITa-Bagaimana kasihnITa membantu memperkasakan ekonomi dan emosi Ibu Tunggal?


Ibu tunggal yang menyertai KasihnITa juga akan diberi keutamaan dan dipadankan dengan program-program yang lain berkaitan pemerkasaan ekonomi seperti Program Wanita gig & Business In Technology, Program Kemahiran Penjanaan Pendapatan, Program Pemberdayaan Ekonomi Wanita, Program Ekonomi Pembangunan Mampan dan Program Memberdaya Akar Umbi Wanita.

Selain itu, daripada segi emosi, terdapat program meningkatkan daya tahan dan psikologi wanita, pembangunan kapasiti komuniti melalui inisiatif sukarelawan serta program advokasi kesejahteraan keganasan terhadap wanita.

Bolehkah isu yang sama difailkan mahkamah dan juga di TAGS?

Tidak boleh kerana hanya satu forum yang boleh mendengar dan memutuskan kes aduan gangguan seksual pada satu-satu masa, melainkan tuntutan sivil di mahkamah ditarik balik atau isu yang yang dibicarakan di mahkamah adalah berkenaan pendakwaan jenayah sahaja.

ATAS
Accessbility Option