Soalan Lazim

Bagaimana kami boleh membantu?
Apakah yang perlu dilakukan oleh pengadu selepas memfailkan Borang 1?

Pihak pengadu hendaklah menyerahkan Borang 1 kepada responden dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh pengadu menerima Borang 1 yang dimeteraikan, melalui kaedah berikut:

                  i.        secara serahan tangan. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini, antara lain, adalah salinan akuan penerimaan / tandatangan / cop penerimaan / gambar penyerahan dan tarikh penyerahan; atau

                 ii.        melalui Pos Berdaftar Akuan Terima yang dialamatkan kepada alamat responden. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah kad AR yang dikembalikan; atau

                iii.        menampal Borang 1 pada bahagian utama di alamat terakhir responden yang diketahui. Contoh bukti penyerahan bagi kaedah ini adalah gambar yang jelas menunjukkan dokumen yang ditampal dan premis responden.

Apakah yang perlu dilakukan jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden?

Jika pengadu gagal membuat serahan Borang 1 ke atas responden, pengadu hendaklah hadir pada tarikh yang ditetapkan untuk pendengaran dan memaklumkan kepada panel Tribunal berkaitan perkara ini semasa sesi pendengaran untuk panel Tribunal membuat perintah yang sewajarnya.

Adakah responden ada hak untuk membela diri?

Ya. Responden dalam tempoh 14 hari bekerja dari tarikh penerimaan Borang 1 hendaklah memfailkan Pernyataan Pembelaan melalui Borang 2 dalam empat (4) salinan di TAGS berserta fi pemfailan sebanyak RM10.00.

Apakah proses seterusnya apabila Borang 2 difailkan?

                  i.        TAGS akan memeteraikan Borang 2  dan akan meletakkan tarikh dan menandatangani Borang 2.

                 ii.        Satu (1) salinan Borang 2 yang telah dimeterai akan dipulangkan kepada responden;

                iii.        Satu (1) salinan Borang 2 akan diserahkan kepada pengadu oleh TAGS; dan

                iv.        Dua (2) salinan Borang 2 akan disimpan oleh TAGS.

Bagaimanakah pendengaran di hadapan panel Tribunal dibuat?

Setelah TAGS mengeluarkan Notis Pendengaran melalui Borang 3, pihak-pihak hendaklah hadir di hadapan panel Tribunal pada tarikh dan masa yang ditetapkan untuk pendengaran. Pihak-pihak dibenarkan untuk mengemukakan apa-apa bukti atau memanggil mana-mana saksi bagi menyokong aduan dan pembelaan masing-masing. Pendengaran aduan gangguan seksual akan didengar di hadapan 3 anggota panel Tribunal yang akan diketuai oleh seorang Pengerusi dan dibuat secara tertutup.

Bolehkah pihak-pihak diwakili peguambela?

Tidak boleh kecuali apabila pada pandangan panel Tribunal terdapat isu undang-undang yang rumit.

Bolehkah pihak-pihak membuat rundingan penyelesaian?

Boleh dengan syarat dipersetujui kedua-dua pihak dan penyelesaian rundingan akan direkodkan di hadapan panel Tribunal (Borang 7). 

Adakah orang lain boleh hadir untuk mewakili pengadu / responden semasa pendengaran?

Tidak boleh, kecuali bagi orang yang belum mencapai umur 18 tahun atau orang yang tidak berkeupayaan boleh diwakili oleh sahabat wakilnya atau penjaga ad litemnya. 

Apakah keputusan yang boleh dibuat oleh panel Tribunal pada akhir pendengaran aduan gangguan seksual?

                  i.        Sekiranya aduan gangguan seksual berjaya dibuktikan di atas imbangan kebarangkalian, panel Tribunal akan mengeluarkan Award Aduan Gangguan Seksual (Borang 4) selaras dengan Seksyen 20 Akta Antigangguan Seksual 2022 yang mengandungi satu atau lebih perintah berikut:

a)        pernyataan permohonan maaf oleh responden kepada pengadu;

b)        penyiaran permohonan maaf oleh responden kepada pengadu (jika perbuatan gangguan seksual dilakukan di khalayak ramai);

c)         pembayaran pampasan atau ganti rugi oleh responden kepada pengadu tidak melebihi RM250,000.00 bagi apa-apa kehilangan atau kerosakan yang ditanggung oleh pengadu akibat perbuatan gangguan seksual yang dialami;

d)        menghadiri apa-apa program sebagaimana yang difikirkan perlu oleh panel Tribunal.

 

                 ii.        Sekiranya aduan gangguan seksual gagal dibuktikan di atas imbangan kebarangkalian, panel Tribunal akan menolak aduan pengadu (Borang 5).

Adakah Presiden dan Timbalan Presiden TAGS terlibat dengan penentuan keputusan oleh sesuatu panel Tribunal dalam sesuatu pendengaran aduan yang tidak dipengerusikan oleh Presiden dan Timbalan Presiden TAGS?

Tidak, Presiden dan Timbalan Presiden TAGS tidak terlibat sama sekali dengan penentuan keputusan aduan gangguan seksual yang didengar di hadapan panel Tribunal yang lain. 

ATAS
Accessbility Option