HARI PSIKOLOGI KPWKM TAHUN 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Bahagian Pengurusan Sumber Manusia dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menganjurkan Hari Psikologi KPWKM Tahun 2026.
Mengangkat tema “Akar Jiwa Sayap Harapan”, program ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kefahaman warga KPWKM serta Jabatan dan Agensi di bawahnya mengenai kepentingan kesejahteraan psikologi, ketahanan emosi dan keseimbangan kehidupan dalam mendepani pelbagai cabaran harian. Program ini turut menekankan kepentingan pengurusan pemikiran dan emosi yang berkesan bagi membentuk warga kerja yang lebih berdaya tahan, positif dan produktif.
Antara pengisian menarik program ialah ceramah motivasi bertajuk “Berakar di Jiwa, Sayap Harapan” yang disampaikan oleh selebriti dan motivator, Encik Amin Idris. Turut diadakan sesi Podcast Sejuta Rasa: Terbang Tunduk yang menampilkan perkongsian daripada Puan Fynn Jamal, selebriti dan usahawan; Puan Intan Maizura, isteri kepada mangsa tragedi MH370; serta Puan Rohaizu, Pegawai Psikologi Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM). Sesi perkongsian ini dikendalikan oleh Tuan Jowel Nooh, Pegawai PenguatKuasa, selaku moderator.
Kemuncak program menyaksikan majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM sebagai tanda sokongan dan komitmen kepimpinan Kementerian terhadap usaha memperkukuh kesejahteraan psikologi dalam kalangan warga kerja.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan KPWKM dalam membudayakan kesedaran terhadap kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan emosi, sekali gus mewujudkan persekitaran kerja yang sihat, harmoni dan kondusif ke arah pembentukan modal insan berkualiti serta penyampaian perkhidmatan awam yang cemerlang.