Sambutan Hari Bapa 2026 Peringkat Kebangsaan
28 Jun 2026
Golongan bapa terus diraikan melalui penganjuran Sambutan Hari Bapa 2026 Peringkat Kebangsaan yang telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri KPWKM, mewakili YAB Datuk Amar Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri.
Tema “Sehebat KASIH Bapa” mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan seorang bapa yang bukan sahaja menjadi penyedia keperluan keluarga, malah pembimbing nilai, pelindung, pendidik dan teladan utama dalam membentuk sahsiah anak-anak.
Selaras dengan aspirasi Dasar KASIH Keluarga Negara, KPWKM melalui LPPKN terus memperkukuh agenda pemerkasaan keluarga menerusi pelbagai inisiatif antaranya:
* Modul Kebapaan bertujuan membantu golongan bapa melaksanakan peranan mereka dengan lebih berkesan dalam mendepani cabaran kehidupan masa kini.
* MEN Empowerment Network (MEN) atau Jaringan Pemerkasaan Lelaki, sebuah jaringan strategik yang menghimpunkan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu golongan lelaki mengurus tekanan
kehidupan dengan memberikan latihan berkaitan pengurusan konflik, kemahiran keibubapaan dan kesihatan mental.
Sambutan ini turut menjadi titik permulaan kepada pelaksanaan kerjasama melibatkan kesemua 20 NGO melalui penganjuran forum dan sesi libat urus berkaitan pemerkasaan lelaki.
Orang ramai juga dijemput mengikuti Forum Hari Bapa 2026 secara dalam talian yang akan disiarkan menerusi platform Maskulin pada 2 Julai 2026 sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan tahun ini.
Majlis ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas Inspirasi Bapa sebagai penghargaan kepada individu yang mempamerkan ketabahan, pengorbanan dan komitmen luar biasa dalam membesarkan serta mendidik anak-anak.
Sambutan Hari Bapa bukan sekadar acara tahunan, malah menjadi platform memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan dan rakan NGO dalam memperkasa golongan bapa, sekali gus mengangkat nilai kasih sayang, pengorbanan dan tanggungjawab mereka dalam membentuk generasi yang berkualiti.
Antara rakan strategik MEN yang turut hadir dalam sambutan Hari Bapa hari ini ialah:
- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
- Pertubuhan Bapa Hebat Malaysia / Better’s Dad Malaysia
- Persatuan Adab Gemilang / Adab Youth Garage
- Global Islamic Parenting Network
- Pertubuhan IKRAM Malaysia
- Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
- Pertubuhan Asas Bina Negara
- Kelab Sahabat KafeTEEN
- Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM)
- Pertubuhan Memperkukuhkan Institusi Perkahwinan Dan Keluarga Malaysia (MyFamily)