LENSA KPWKM

SESI LIBAT URUS EKSKLUSIF BERSAMA PIHAK INDUSTRI MEMBINA TEMPAT KERJA MESRA KELUARGA DI MALAYSIA

Mesyuarat      2 Oktober 2026      Pilihan    

Sesi Libat Urus Eksklusif Bersama Pihak Industri: Membina Tempat Kerja Mesra Keluarga di Malaysia

2 Oktober 2026

Sesi Libat Urus Eksklusif Bersama Pihak Industri: Membina Tempat Kerja Mesra Keluarga di Malaysia telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Sesi libat urus yang diadakan di Kuala Lumpur ini telah menghimpunkan wakil-wakil industri bagi mendapatkan pandangan, pengalaman serta maklum balas dalam membangunkan Indeks Mesra Keluarga Tempat Kerja Malaysia (MyFFWI) sebagai penanda aras nasional yang seragam, praktikal dan berasaskan bukti.

MyFFWI merupakan inisiatif perintis yang dilaksanakan pada tahun 2026 bagi memberi pengiktirafan dan galakan kepada syarikat yang mengamalkan dasar serta amalan mesra keluarga di tempat kerja. Fasa rintis ini turut menjadi ruang untuk memahami cabaran pelaksanaan, menguji instrumen serta memperhalusi kaedah penilaian berdasarkan pengalaman sebenar organisasi.

Selaras dengan usaha memperkukuh kesejahteraan pekerja dan keluarga, KPWKM menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang menyokong keperluan pekerja dalam mengimbangi tanggungjawab pekerjaan, keluarga dan penjagaan. Tempat kerja mesra keluarga bukan sahaja menyokong kesejahteraan pekerja, malah dapat menyumbang kepada tenaga kerja yang produktif, berdaya tahan dan mampan.

Segala pandangan dan maklum balas yang dikongsikan oleh pihak industri melalui sesi ini akan membantu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan rakan-rakan strategik memperhalusi instrumen, proses pengumpulan bukti, kaedah penilaian serta pelaksanaan MyFFWI pada masa hadapan.

KPWKM akan terus memperkukuh kerjasama bersama pihak industri, kementerian, agensi, ahli akademik dan pakar bagi membangunkan pendekatan tempat kerja mesra keluarga yang praktikal, relevan dan bersesuaian dengan landskap pekerjaan di Malaysia.

ATAS
Accessbility Option