LENSA KPWKM

ZIARAH KASIH YB TIMBALAN MENTERI KPWKM MENYANTUNI WARIS ANGGOTA PASUKAN SIMPANAN PERSEKUTUAN (FRU)

Lawatan      20 Mei 2025      Perak    

Ziarah KASIH YB Timbalan Menteri KPWKM Menyantuni Waris Anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU)

20 Mei 2025

Dalam suasana penuh hiba dan keinsafan, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) turun padang menziarahi waris mangsa kemalangan melibatkan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Ipoh.

Sesi kunjungan yang bermula seawal 9.30 pagi di Kuarters PSP Sungai Senam menyaksikan Timbalan Menteri menyantuni waris Allahyarham L/Kpl Damarrulan Abdul Latif yang terkorban dalam kejadian tersebut serta Kpl Nizam Tarmizi dan Kpl Mohammad Zulnaidi Muhammad Zulkifli yang mengalami kecederaan dalam insiden sama. YB Timbalan Menteri turut meluangkan masa menyampaikan sumbangan kepada isteri dan anak-anak mereka, yang masih dalam usia persekolahan.

Perkhidmatan Intervensi Krisis dan Sokongan Psikologi (IKSP) telah disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu semua keluarga menghadapi tekanan emosi pasca kejadian.

Konvoi Ziarah KASIH turut berkunjung ke kediaman 4 lagi anggota yang terkorban iaitu Allahyarham Kpl Akmal Muhamad, Allahyarham Sjn Mohd Roslan Abd Rahim, Mendiang Sjn Perumal Sugunanathan dan Allahyarham Kpl Amiruddin bin Zabri. Kesemua keluarga mangsa menerima sokongan moral serta bantuan awal daripada pihak kementerian melalui JKM dan YKN.

Tragedi ini bukan sahaja menguji ketabahan para waris, malah turut meruntun hati semua. Lawatan ini merupakan manifestasi tanda kasih dan sokongan kementerian kepada mereka dalam menghadapi saat sukar.

KPWKM juga memberi jaminan bahawa pemantauan dan bantuan susulan akan diteruskan, termasuk dari aspek psikososial dan kebajikan anak-anak mangsa agar masa depan mereka tidak terjejas akibat tragedi ini.

Lawatan yang menyantuni 6 keluarga ini berlangsung sepanjang hari, bermula di Ipoh hingga ke Gopeng, mencerminkan keprihatinan mendalam kerajaan MADANI terhadap kebajikan keluarga anggota pasukan keselamatan yang telah berkorban demi negara.

Turut serta, YB Howard Lee Chuan How, Ahli Parlimen Ipoh Timor, Puan Siti Fatimah binti Ismail, Pengarah Bahagian Psikologi dan Kaunseling JKM, Puan Nor Tipah Majin, Pengarah JKM Negeri Perak serta pegawai jabatan dan agensi KPWKM.

ATAS
Accessbility Option