LENSA KPWKM

KASIH KELUARGA, JIWA NEGARA: KPWKM PERKUKUH INSTITUSI KELUARGA MELALUI SAMBUTAN NBKK26

Program      7 November 2026      Selangor    

KASIH KELUARGA, JIWA NEGARA: KPWKM PERKUKUH INSTITUSI KELUARGA MELALUI SAMBUTAN NBKK26

7 November 2026

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, diiringi isteri, YABhg. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Dato’ Dr. Wan Ismail, hari ini menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 (NBKK26) di Selangor International Trade Centre (SITC), Shah Alam.

Bertemakan “Kasih Keluarga, Jiwa Negara”, sambutan ini menekankan kepentingan institusi keluarga sebagai asas pembentukan masyarakat penyayang, sejahtera dan harmoni melalui pembudayaan lima nilai teras KASIH, iaitu Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu serta Harmoni.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bahawa pengukuhan institusi keluarga perlu diterjemahkan melalui tindakan berterusan, termasuk perlindungan sosial, kesihatan reproduktif, sokongan penjagaan anak serta persekitaran pekerjaan mesra keluarga.

Komitmen ini turut diperkukuh menerusi Belanjawan 2027 dengan peruntukan RM4.355 bilion kepada KPWKM, termasuk hampir RM3.3 bilion bagi bantuan kebajikan, selain RM20 juta untuk menambah baik pusat penjagaan anak di fasiliti kerajaan.

Antara inisiatif yang diketengahkan ialah Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI), Indeks Tempat Kerja Mesra Keluarga Malaysia (MyFFWI) serta amalan “10 Saat Pelukan Keluarga” bagi menggalakkan penghayatan kasih sayang dalam kehidupan seharian.

Majlis turut menyaksikan pengiktirafan PETRONAS dan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi Anugerah Khas Tempat Kerja Mesra Keluarga atas komitmen menyediakan persekitaran pekerjaan yang menyokong kesejahteraan keluarga.

Sambutan NBKK26 yang berlangsung sejak 6 November 2026 turut mencatatkan kehadiran 10,000 pengunjung sehingga petang 7 November, dengan pelbagai pengisian termasuk Ekspo KASIH, aktiviti interaktif kekeluargaan, pameran perkhidmatan agensi, Jualan RAHMAH dan Jualan Agro MADANI.

KASIH Keluarga, Jiwa Negara!

ATAS
Accessbility Option