LENSA KPWKM

MAJLIS PERASMIAN PEJABAT TRIBUNAL BAGI ANTIGANGGUAN SEKSUAL (TAGS) DAN PELANCARAN SISTEM E-TAGS

Program      11 Jun 2026      Kuala Lumpur    

Pejabat TAGS Dirasmikan Sebagai Komitmen KPWKM Menangani Gangguan Seksual

11 Jun 2026

KPWKM terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh akses kepada keadilan bagi mangsa gangguan seksual melalui perasmian Pejabat Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Kuala Lumpur, hari ini.

Pejabat TAGS ini akan menyokong pengoperasian Tribunal dalam mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual secara bebas, adil dan saksama, melalui satu proses yang cepat, mudah dan pada kos yang minimum. Penubuhan Tribunal ini juga membolehkan mangsa mengambil tindakan sivil dan menuntut pampasan atau ganti rugi daripada pelaku.

Dalam majlis yang sama, sistem e-TAGS turut dilancarkan bagi membantu memudahkan dan mempercepat proses pemfailan, pengurusan, pendengaran, pengesahan keputusan/award serta penyimpanan rekod aduan secara digital dan tanpa kertas.

Sejak penubuhannya pada 8 Mac 2024 sehingga 7 Jun 2026, sebanyak 99 aduan telah difailkan dengan 80 aduan berjaya diselesaikan dalam tempoh 60 hari dari hari pertama pendengaran, dan baki 19 aduan sedang dalam proses pengurusan aduan di Tribunal.

Penubuhan TAGS ini mencerminkan kerprihatinan Kerajaan dalam menambah baik sistem perundangan negara sekali gus mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBrs. Puan Syafeera binti Mohd Said, Presiden TAGS dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan dan Agensi Kementerian.

ATAS
Accessbility Option