Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026
14 April 2026
Hari ini, lebih 800 pemegang taruh merentas kementerian, agensi Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan serta rakan strategik berhimpun dalam Program Semarakkan Inovasi Sektor Awam 2026, yang menjadi platform dalam mengarusperdanakan inovasi sebagai pemacu utama transformasi pentadbiran negara. YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM turut hadir dalam program ini yang diadakan di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam dan dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.
Bertemakan “Inovasi MADANI Pemacu Reformasi”, program anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ini menandakan peralihan paradigma sektor awam daripada sekadar pelaksana dasar kepada pencipta penyelesaian, selaras dengan tuntutan semasa yang memerlukan pendekatan lebih tangkas, kreatif dan berorientasikan rakyat.
Program hari ini menyaksikan pertukaran nota kerjasama strategik antara JPA dan Kerajaan Negeri Selangor serta rakan pihak berkuasa tempatan, sekali gus memperkukuh jaringan kolaborasi dalam mempercepatkan agenda reformasi sektor awam. Selain itu, turut diluncurkan Pekeliling Pembaharuan Sektor Awam oleh Ketua Setiausaha Negara yang memberi penekanan kepada inovasi, pendigitalan dan fleksibiliti kerja sebagai teras utama transformasi.
KPWKM sentiasa menyokong usaha berterusan Kerajaan dalam memperkukuh agenda reformasi perkhidmatan awam berteraskan inovasi dan teknologi.