Perasmian Seminar Disability Equality Training (DET) & Program Perkhidmatan Job Coach 2025
16 November 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh agenda pemerkasaan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) melalui penganjuran program berimpak tinggi seperti Seminar Disability Equality Training (DET) dan Program Perkhidmatan Job Coach.
Dalam ucapan perasmian, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri KPWKM menegaskan pentingnya iltizam bersama masyarakat dalam membina persekitaran yang inklusif agar tiada individu tercicir daripada arus pembangunan negara, khususnya golongan OKU yang menjadi antara kumpulan sasar utama Kementerian.
Sejak tahun 2010 hingga 2024, sebanyak 7,426 peserta telah mengikuti latihan DET, menjadikannya satu inisiatif berkesan dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap isu ketidakupayaan. Selain itu, menerusi Perkhidmatan Job Coach, seramai 976 OKU telah berjaya dipadankan dengan peluang pekerjaan bersama 664 majikan di seluruh negara dan ini merupakan satu pencapaian penting dalam meningkatkan penyertaan OKU dalam sektor ekonomi.
Pada sesi hari ini, para peserta turut mengikuti perkongsian oleh Encik Sayed Mawismi Bin Sayed Mohamad Mustar, Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat JKM, yang memberikan penjelasan mendalam mengenai konsep Disability Equality Training (DET) serta peranan Perkhidmatan Sokongan Pekerja (Job Coach). Perkongsian ini membantu peserta memahami bagaimana DET dapat mengubah perspektif masyarakat terhadap ketidakupayaan, dan bagaimana Job Coach memainkan peranan penting sebagai jambatan yang menyokong OKU mencapai kerjaya yang stabil, berkualiti dan setara.
Majlis turut dihadiri oleh Yang Berusaha Puan Hajah Norhayati Binti Abdul Rahman, Pemangku Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak; Yang Berbahagia Tuan Haji Edmund Shah Bin Tambi, Pengarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak; Yang Berusaha Dr. Yusnita Binti Ibrahim, Wakil Pengarah Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya; serta pegawai-pegawai kanan KPWKM.