LENSA KPWKM

ZIARAH KEMBARA KASIH KPWKM ZON 2 HARI KEDUA

Program      23 Mei 2025      Sabah    

Ziarah Kembara KASIH KPWKM Zon 2: Hari Kedua

23 Mei 2025

Sebelum meninggalkan daerah Kunak, konvoi Kembara KASIH KPWKM singgah bagi menyantuni empat orang klien Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Rumah pertama yang disinggahi merupakan Orang Kurang Upaya Fizikal Terlantar iaitu Mas Idaayu binti Aziz. Beliau memerlukan penjagaan pengurusan diri sepenuhnya daripada penjaga disebabkan ketidakupayaan yang dialami dan menerima Bantuan Penjagaan OKU / Pesakit Kronik Terlantar daripada JKM.

Seterusnya, kami bergerak ke rumah Encik Bastari bin Borhan, seorang warga emas berusia 65 tahun. Beliau berkahwin namun tidak dikurniakan zuriat dan hanya mempunyai seorang anak angkat. Beliau juga bekerja sambilan sebagai pemandu kereta sapu dan menerima Bantuan Warga Emas JKM.

Puan Adimah binti Gafar, seorang insan berhati mulia apabila beliau sanggup menjaga seorang kanak-kanak yang memerlukan perlindungan dan pemeliharaan di bawah Seksyen 17 (1) (d) Akta Kanak-kanak 2001. Kanak- kanak ini diletakkan di bawah jagaan Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS) iaitu Puan Adimah dan dijaga dengan penuh kasih sayang walaupun tidak mempunyai pertalian darah.

Rumah terakhir yang dikunjungi ialah Norsimah binti Abdul Sidik yang mempunyai 9 orang anak. Beliau dan keluarga telah diuji dengan tragedi kebakaran yang memusnahkan kediaman mereka sepenuhnya bersama harta modal perniagaan. Kini, beliau sekeluarga menumpang di kediaman ibu mertua yang tinggal bersebelahan kediamannya yang terbakar dan menerima Skim Bantuan Anak Yatim/Miskin Negeri.

Sebagai tanda KPWKM Peduli, konvoi kami menyampaikan Bakul Makanan JKM, Kit Kesihatan LPPKN serta Sumbangan Wang Tunai YKN kepada keempat- empat klien yang disantuni pada hari ini. Diharapkan sumbangan ini dapat membawa kecerian dan meringankan beban mereka sekeluarga.

ATAS
Accessbility Option