Aksesibiliti Diperkasa, Inklusiviti Terpelihara
14 September 2026
Kerajaan terus memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap keperluan akses yang inklusif untuk Orang Kurang Upaya (OKU) melalui penganjuran Minggu Aksesibiliti Negara Tahun 2026 yang dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Dalam ucapan perasmiannya, YB Menteri menekankan bahawa aksesibiliti merupakan suatu hak, bukan keistimewaan atau ihsan semata-mata. Kemudahan yang disediakan hendaklah direka dengan spesifikasi yang betul, mudah dicapai dan inklusif kepada semua golongan penggunanya.
Persekitaran yang mudah diakses membuka ruang kepada lebih ramai OKU untuk memperoleh pendidikan, mendapat pekerjaan, berdikari dan menyumbang kepada pembangunan negara, selain turut memberikan manfaat kepada warga emas, wanita hamil, kanak- kanak dan lain-lain.
Beliau juga menegaskan tujuh prinsip reka bentuk sejagat yang perlu diterapkan dalam membangunkan persekitaran yang inklusif, iaitu:
# Penggunaan yang saksama
# Penggunaan yang fleksibel
# Penggunaan yang mudah dan intuitif
# Penyampaian maklumat yang mudah ditanggapi
# Toleransi terhadap kesilapan
# Penggunaan tenaga fizikal yang minimum
# Penyediaan saiz dan ruang yang mencukupi
Pelbagai usaha dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) bagi memperkukuh pelaksanaan program aksesibiliti merangkumi advokasi, pembangunan kapasiti, seminar, sesi libat urus serta kerjasama strategik dengan kementerian, agensi teknikal, pihak berkuasa tempatan, pertubuhan profesional dan organisasi OKU. JPOKU turut merancang serta melaksanakan audit aksesibiliti dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap semua fasiliti infrastruktur di JKM bagi menilai kebolehcapaian sebenar sesebuah bangunan, kemudahan atau perkhidmatan.
Pelaksanaan agenda aksesibiliti turut diperkukuh melalui Akta Orang Kurang Upaya 2008 atau Akta 685 yang mengiktiraf hak OKU untuk mengakses kemudahan dan perkhidmatan awam atas asas kesaksamaan dengan orang lain. Akta ini turut menekankan penyertaan penuh dan berkesan OKU dalam masyarakat.
Ayuh! Bersama kita membina sebuah negara yang inklusif agar setiap warganya mempunyai peluang untuk hidup dengan bermaruah, berdikari serta menyumbang mengikut potensi masing-masing.