LENSA KPWKM

LAWATAN KE PUSAT JAGAAN WARGA EMAS SWASTA YANG BERDAFTAR DI BAWAH AKTA PUSAT JAGAAN 1993 [AKTA 506] OLEH DELEGASI MOF DAN KPWKM

Lawatan      19 Ogos 2026      Putrajaya    

Lawatan ke Pusat Jagaan Warga Emas Swasta Berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506)

19 Ogos 2026

Satu sesi lawatan rasmi dan libat urus delegasi antara Kementerian Kewangan bersama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ke Pusat Jagaan Warga Emas Swasta telah berlangsung dengan jayanya bagi meninjau secara langsung cabaran, keperluan serta perkembangan semasa sektor penjagaan warga emas.

Delegasi yang diketuai bersama oleh YB Tuan Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Kewangan, dan YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri KPWKM, telah mengadakan lawatan ke dua buah pusat jagaan, iaitu Genting Dementia Care Centre di Segambut, Kuala Lumpur dan Laman Khaira di Putrajaya.

Lawatan turun padang ini bertujuan mendapatkan input, pandangan dan cadangan daripada pengusaha industri penjagaan sebagai persediaan awal bagi penyediaan Belanjawan 2027 yang bakal dibentangkan pada Oktober tahun ini. Dalam masa yang sama, delegasi turut meneliti cadangan penambahbaikan terhadap ketetapan dasar Cukai Perkhidmatan yang dikenakan ke atas pusat jagaan warga emas swasta yang berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506).

Sesi libat urus ini turut mendapat sokongan dan penyertaan Pengurusan Tertinggi Kementerian serta agensi yang berkaitan. Antara yang turut hadir ialah YB Tuan Howard Lee, Ahli Parlimen Ipoh Timor; YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM; serta pegawai-pegawai kanan KPWKM dan Kementerian Kewangan, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kastam DiRaja Malaysia.

Komitmen ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan untuk menjamin kebajikan dan kesejahteraan warga emas, di samping memastikan kelangsungan serta daya tahan sektor penjagaan di negara ini.

ATAS
Accessbility Option