LENSA KPWKM

PROGRAM ADVOKASI KESEJAHTERAAN KEGANASAN TERHADAP WANITA (KEGANASAN RUMAH TANGGA)

Program      20 Ogos 2025      PERAK    

Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @Keganasan Rumah Tangga @ Aku Wanita@KRT

20 Ogos 2025

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) komited menangani isu keganasan rumah tangga dengan penganjuran Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita @Keganasan Rumah Tangga @ Aku Wanita@KRT. Program ini telah dirasmikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Dewan Galasa Caldwell, Ipoh, Perak.

Bertemakan “Ayuh Berani Lapor”, program ini menjadi platform strategik untuk meningkatkan kesedaran, memberi keyakinan kepada mangsa untuk bersuara serta menyediakan ruang sokongan dan pemulihan yang selamat. Antara pengisian program ini ialah sesi intervensi psikologi “K-Chat” bersama kaunselor terlatih, perkongsian pemandiri dan forum bersama pakar. Program ini berjaya menghimpunkan kira-kira 500 peserta dari pelbagai latar belakang.

KPWKM menekankan kepentingan pelaksanaan program advokasi secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan prihatin terhadap isu-isu sosial yang berkaitan, khususnya yang melibatkan keselamatan dan kesejahteraan golongan wanita, kanak-kanak serta keluarga. Antara inisiatif lain yang dilaksanakan oleh KPWKM termasuk Program Matahari, IRIS, Skuad Waja dan penyediaan khidmat kaunseling.

Diharapkan penganjuran program ini dapat memberi impak positif kepada masyarakat selain memperkukuh jaringan sokongan mangsa dan memartabatkan agenda pemerkasaan wanita di negara ini.

Turut sama hadir ialah YB Dato’ Salbiah Binti Mohamed, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Perak, YB Puan Jenny Choy Tsi Jen, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Canning selaku Timbalan Dipertua Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, YBrs. Puan Halizah Binti Sipun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pembangunan), Pegawai-pegawai Kanan serta wakil daripada Agensi Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

ATAS
Accessbility Option