Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Tahun 2025
15 Januari 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) hari ini telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI Tahun 2025 di Kampung Buntal, Kuching, Sarawak, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan komuniti luar bandar secara berimpak tinggi.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berkata, Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif nasional oleh YAB Perdana Menteri bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan berteraskan keperluan sebenar komuniti setempat.
Sebagai sebahagian pelaksanaan program ini, KPWKM melalui Bahagian Pembangunan telah menaik taraf Dewan Serbaguna Kampung Buntal dengan kos RM998,200.00 dalam tempoh 28 minggu bermula 5 Jun hingga 18 Disember 2025. Dewan ini dilengkapi kemudahan yang lebih selesa dan moden serta akan berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti dan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya berlaku bencana.
Sempena majlis tersebut, lima perkhidmatan bergerak turut disediakan iaitu Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS), Klinik Bergerak LPPKN, Klinik Pergigian Bergerak, Kaunter Perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kaunter Perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara. Program lain yang turut diadakan termasuk Jualan Rahmah, saringan Kanser Serviks HPV/DNA, saringan mammogram, perkhidmatan kaunseling dan psikososial, Kempen Awak OK Tak? Jom Kongsi, Sahabat KafeTeen, Skuad Aman Wanita (AMANITA) serta perkhidmatan Talian KASIH 15999.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri berharap kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya sebagai pemangkin pembangunan sosial dan ekonomi masyarakat setempat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut sama hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Dato Jasni bin Haji Jubli, Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, YBhg. Datin Safida Zalma binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, YBhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat, YBrs. Tuan Zaidi bin Haji Sarkawi, Pegawai Daerah Kuching dan pegawai-pegawai kanan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang lain.