KPWKM Lancar Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026 - 2030
5 Oktober 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah melancarkan Pelan Tindakan Warga Emas Negara 2026 - 2030 yang disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa Sambutan Hari Warga Emas Tahun 2025 di Klana Resort, Negeri Sembilan.
Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN) 2026 - 2030 dirangka dengan merangkumi enam (6) strategi utama yang komprehensif menekankan kesejahteraan, kesaksamaan dan peluang penyertaan aktif bagi mencapai matlamat berkenaan.
PTWEN 2026 - 2030 yang dibangunkan merupakan usaha Kerajaan dalam memantapkan aspek penjagaan dan kebajikan warga emas susulan jangkaan Malaysia akan mencapai taraf negara tua menjelang 2030.
“Warga Emas, Wajah Masa Depan Kita” merupakan tema sambutan pada tahun ini yang amat signifikan dengan usaha Kerajaan dalam merapatkan jurang antara generasi dan menjadikan warga emas sebagai pemandu perubahan dan inspirasi kepada generasi kini dan akan datang.
Pada tahun ini, penerima Anugerah Tokoh Warga Emas Tahun 2025 diberikan kepada Dr. Tee E Siong merupakan Pakar Runding Pemakanan yang kini berumur 78 tahun dan Anugerah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cemerlang diberikan kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Elopura, Sandakan, Sabah.
Dalam majlis tersebut, turut disampaikan Sijil Penghargaan Prihatin Warga Emas kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Perbandaran Kulim, (MPKK) dan Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) serta Badan Berkanun/Korporat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Mydin Mohamed Holdings Berhad dan 99 Speedmart Sdn. Bhd.
Turut sama hadir dalam majlis ini ialah YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM, YB Dato’ Noorzunita Begum Mohd Ibrahim, EXCO Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan dan YBhg. Datuk Che Murad Sayang bin Ramjan, Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat.