LENSA KPWKM

PERSIDANGAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PERAKAUNAN KPWKM TAHUN 2025

Program      15 Julai 2025      Kuala Lumpur    

Persidangan Pegawai Perkhidmatan Perakaunan KPWKM Tahun 2025

15 - 17 Julai 2025

Pada 15 hingga 17 Julai 2025, telah berlangsung Persidangan Pegawai Perkhidmatan Perakaunan KPWKM Tahun 2025 yang diadakan di Hotel Furama Bukit Bintang, Kuala Lumpur anjuran Bahagian Akaun Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), dengan kerjasama strategik daripada Bahagian, Unit dan Agensi di KPWKM.

Program yang julung kali diadakan di KPWKM ini disertai oleh 48 pegawai perhidmatan perakaunan terdiri daripada Akauntan, Penolong Akauntan dan Pembantu Akauntan yang berkhidmat di Kementerian, Jabatan dan Pusat Tanggungjawab (PTJ) KPWKM seluruh Malaysia. Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM pada 16 Julai 2025.

Dalam ucapannya, YBhg. Datuk mengingatkan pegawai perkhidmatan perakaunan agar menjiwai nilai-nilai murni, ketelusan, keadilan, dan tatakelola baik dalam setiap aspek perkhidmatan dan memastikan setiap sen dibelanjakan dengan berhemah dan memberi impak maksimum kepada kumpulan sasar yang menjadi fokus utama kementerian. YBhg. Datuk turut memberi penekanan tentang kepentingan pemikiran kolaboratif untuk menghadapi cabaran dan kompleksiti dalam landskap baharu perkhidmatan awam, yang dipengaruhi oleh kemajuan teknologi serta perubahan sosioekonomi di peringkat nasional dan global.

Turut hadir dalam sesi perasmian ialah YBrs. Puan Farah Adura Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM, Encik Mohd Hanapi Bin Mohammad Hanipah, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan KPWKM, para jemputan dan pembentang persidangan.

Program ini merupakan satu platform untuk Ketua Setiausaha Kementerian, selaku Pegawai Pengawal dan pegawai peringkat kementerian berinteraksi secara bersemuka dengan pegawai perkhidmatan perakaunan yang berada di PTJ seluruh Malaysia, bagi membincangkan perkara-perkara terkini dan isu-isu semasa berkaitan perakaunan dan kewangan. Ia juga bertujuan membina serta memperkuat jalinan hubungan dan rangkaian komunikasi antara Kementerian dan PTJ, selain berkongsi dengan pegawai perkhidmatan perakaunan tentang hala tuju Kementerian berkaitan pendigitalan yang berkaitan dengan PTJ .

Selain daripada pegawai dalaman Kementerian, sesi pembentangan sepanjang persidangan turut menampilkan penceramah jemputan daripada pelbagai Jabatan dan agensi iaitu Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(JAWI).

Pada hari terakhir persidangan, peserta turut berkesempatan bersua bicara bersama dengan pengurusan tertinggi JANM bagi membincangkan isu semasa berkaitan perkhidmatan dan operasi perakaunan.

ATAS
Accessbility Option