KPWKM Pertingkat Fasiliti Kanak-kanak dengan Penyiapan Projek Rumah Kanak-kanak (RKK) Taman Bakti, Penang
4 Oktober 2025
KPWKM pertingkat kemudahan untuk kumpulan sasar kanak-kanak dengan penyiapan projek Rumah Kanak-kanak Taman Bakti, Pulau Pinang.
Projek ini telah dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pembangunan KPWKM bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana.
Majlis penyerahan kunci telah dihadiri oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM.
Dalam ucapannya, KSU memaklumkan dengan adanya fasiliti yang serba lengkap ini, KPWKM yakin RKK Taman Bakti mampu menyediakan persekitaran yang lebih kondusif, memberi motivasi baharu kepada kakitangan, serta membolehkan penghuni mendapat perlindungan, pendidikan dan pemulihan yang lebih berkualiti.
Tujuan utama projek ini adalah untuk memastikan Rumah Kanak-Kanak berfungsi sebagai institusi perlindungan, penjagaan dan pemulihan yang lebih kondusif serta menepati standard semasa, termasuklah ciri-ciri reka bentuk mesra kanak-kanak dan OKU.
Rekabentuk mesra kanak-kanak dan OKU bukan sahaja bertujuan memastikan keselesaan, tetapi juga mencerminkan komitmen Kerajaan terhadap inklusiviti dan kesejahteraan bersama.
Hasil pembinaan projek ini, RKK Taman Bakti kini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baharu seperti:
- Blok Pentadbiran yang lebih efisien;
- Blok Asrama yang selesa dan selamat;
- Surau untuk pengisian kerohanian;
- Wakaf serta Padang Bola Sepak bagi kemudahan riadah dan rekreasi penghuni;
- Lain-lain blok sokongan bagi memastikan aspek keselamatan, kawalan keluar masuk, serta kelancaran operasi dapat dijalankan dengan lebih teratur dan berkesan.
RKK Taman Bakti ini kelak akan menempatkan seramai 100 penghuni yang terdiri daripada 30 kanak-kanak lelaki, 30 kanak-kanak perempuan serta 40 bayi.
Turut hadir YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Nadzri bin Abdul Majid, Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Mohd Zuwairi bin Samsuddin, Jurutera Daerah JKR Seberang Prai Utara, Pegawai-pegawai Kanan Kementerian, JKM dan JKR.