Aidilfitri bukan sekadar meraikan hari kemenangan, tetapi hari untuk menyubur rasa KASIH, menzahirkan kesyukuran dan merapatkan hubungan sesama kita terutama kumpulan sasar yang memerlukan.
Kemeriahan Majlis Ramah Mesra KPWKM Bersama Kumpulan Sasar dapat dirasakan dengan kehadiran orang ramai yang segak dan cantik berbaju raya yang datang tidak henti-henti dari awal pagi.
Majlis hari ini menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar yang turut sama menyantuni kumpulan sasar yang hadir.
KPWKM juga merasa amat berbesar hati dengan kehadiran YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut disertai Premier Sarawak, Timbalan-timbalan Premier serta Ketua Setiausaha Negara.
Kegembiraan dan kecerian mereka yang hadir jelas melalui senyum, gelak ketawa dan senda gurau sambil menikmati juadah. YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama-sama Pengurusan Tertinggi KPWKM turut berkesempatan beramah mesra dengan para tetamu yang hadir termasuk kumpulan-kumpulan sasar Kementerian dan barisan rakan strategik KPWKM.
Pelbagai jenis juadah dihidangkan di reruai-reruai agensi di bawah KPWKM tidak kira juadah raya mahupun makanan tradisional masyarakat setempat. Tetamu-tetamu yang hadir turut disajikan dengan pelbagai persembahan menarik dan kreatif yang menghiburkan.
Majlis diserikan lagi dengan kehadiran Menteri-menteri Kabinet, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha dan Ketua-ketua Perkhidmatan Persekutuan dan Negeri.
Terima kasih kepada 5500 tetamu yang hadir memeriahkan majlis pada hari ini di Wisma SABATI. Semoga hari ini menjadi kenangan indah buat semua.
Sehingga berjumpa lagi di Aidilfitri yang akan datang ??