Perkongsian Amalan Terbaik Perkhidmatan Penjagaan di Expo Osaka 2025
3 Julai 2025 | Osaka
Malaysia menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus menyerlah di pentas antarabangsa melalui sesi perkongsian amalan terbaik, penanda aras dan pameran khas dalam industri penjagaan yang berlangsung di Pavilion Malaysia, Expo Osaka 2025.
Sesi ini menonjolkan kekuatan negara dalam bidang penjagaan kanak-kanak, kesihatan dan penjagaan warga emas serta kesejahteraan keluarga, sekaligus menarik minat pelbagai pemegang taruh antarabangsa yang ingin mendalami pendekatan holistik dan mampan yang diamalkan oleh Malaysia.
Antara sorotan utama ialah penyelesaian inovatif berasaskan digital bagi sistem penjagaan kanak-kanak, warga emas dan komuniti yang menekankan kemudahan akses serta kecekapan perkhidmatan. Perhatian turut tertumpu kepada perkhidmatan kesihatan wanita yang menggabungkan rawatan moden dan tradisional sebagai satu pendekatan menyeluruh yang memelihara nilai budaya sambil meraikan kemajuan sains perubatan.
Delegasi KPWKM turut menyertai sesi eksklusif ramah mesra bersama wakil negara-negara berkepentingan, membuka ruang kolaborasi strategik dalam bidang penjagaan dan kesejahteraan sosial.
Melalui platform berprestij ini, Malaysia berjaya memperkukuh kehadirannya sebagai peneraju perkhidmatan penjagaan dan kesejahteraan di peringkat global dan domestik, seiring dengan komitmen berterusan terhadap agenda kemanusiaan dan pembangunan inklusif.
LENSA KPWKM
PERKONGSIAN AMALAN TERBAIK PERKHIDMATAN PENJAGAAN DI EXPO OSAKA 2025
Program 3 Julai 2025 Osaka, Japan