LENSA KPWKM

JELAJAH KASIH PUSAT SOKONGAN SOSIAL SETEMPAT (PSSS) “SA DENGAR, SA TULUNG BAH”

Program      19 Disember 2025      Sabah    

JELAJAH KASIH PUSAT SOKONGAN SOSIAL SETEMPAT (PSSS) “SA DENGAR, SA TULUNG BAH”

19 Disember 2025

Bagi memberi perkhidmatan sokongan Kerajaan terus kepada masyarakat khususnya kepada mereka yang berdepan tekanan emosi, cabaran kesihatan mental dan krisis dalam keluarga, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyempurnakan Program Jelajah Kasih Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) Yayasan Kebajikan Negara (YKN) “Sa Dengar, Sa Tulung Bah” yang berlangsung di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang, Sabah.

Program anjuran YKN ini dekat dengan realiti kehidupan masyarakat dan mengangkat mesej penting bahawa isu kesihatan mental bukan lagi perkara yang perlu disorokkan, sebaliknya isu bersama yang perlu ditangani.

Menerusi PSSS, klien akan dibantu dengan intervensi awal seperti khidmat kaunseling dan sokongan psikososial oleh kaunselor berdaftar YKN. Setakat ini, seramai 142,030 klien seluruh Malaysia telah disantuni menerusi PSSS termasuk komuniti dari Papar, Tawau, Lahad Datu dan Penampang, Sabah.

YB Menteri turut menegaskan isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga perlu ditangani secara menyeluruh dengan empati, rawatan dan sokongan keluarga agar dapat mewujudkan masyarakat MADANI yang sejahtera.

Dalam majlis sama, YB Menteri telah menyampaikan 300 bakul makanan sumbangan YKN yang diharapkan dapat meringankan beban sekaligus membantu masyarakat yang memerlukan.

Turut hadir dalam program ini ialah YB Datuk Rina Binti Jainal, Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat, YBrs. Puan Nordina Haron, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara dan YBrs. Dr. Mohammad Firdaus Bin Abdul Aziz, Pengarah Hospital Mesra Bukit Padang.

ATAS
Accessbility Option