Kunjungan Hormat Oleh Duta Besar Jepun Ke Malaysia Ke Atas YB Menteri KPWKM
6 November 2025
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menerima kunjungan hormat daripada His Excellency SHIKATA Noriyuki, Duta Besar Jepun ke Malaysia di Bangunan Parlimen Malaysia pada hari ini. Turut hadir ialah Ms. HYOE Kiyomi, Ketua Seksyen Ekonomi dan Mr. YOSHIDA Tomoaki, Setiausaha Kedua merangkap Atase Kesihatan, Buruh dan Kebajikan, Kedutaan Jepun di Malaysia.
Dalam pertemuan ini, YB Menteri menyampaikan ucapan tahniah kepada Kerajaan Jepun atas pelantikan wanita pertama sebagai Perdana Menteri, yang dianggap sebagai langkah bersejarah ke arah memperkukuh kepimpinan wanita dan penyertaan mereka dalam proses membuat keputusan di Jepun.
Malaysia turut mengiktiraf komitmen Jepun dalam memajukan kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita, yang selaras dengan aspirasi Malaysia di bawah kerangka Malaysia MADANI.
Perbincangan turut menumpukan kepada usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Jepun, khususnya dalam bidang pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat, serta kerjasama dalam ekonomi penjagaan (care economy) dan inisiatif komuniti inklusif.
YB Menteri turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan KPWKM termasuk YBrs. Tuan Mohd Daud bin Mohd Arif (Timbalan Ketua Setiausaha – Strategik), Encik Asmar Asmadi bin Abdullah Sani (Setiausaha Bahagian Dasar & Perancangan Strategik), Dr. Satish a/l Ranggayah (Setiausaha Bahagian Hubungan Antarabangsa), Dr. Faridah binti Awang (Timbalan Ketua Pengarah, Jabatan Pembangunan Wanita), Puan Fatimah Zuraidah binti Haji Salleh (Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Kolaborasi Strategik), wakil daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, wakil daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pegawai-pegawai daripada Jabatan/Bahagian terlibat.
Kunjungan hormat ini menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam bidang pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti.