Forum Agenda Wanita Negara 2025 Dan Pelancaran Buku 30 Tahun Konvensyen Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Malaysia
30 September 2025
Hari ini, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah merasmikan Forum Agenda Wanita Negara (FAWN) 2025 serta melancarkan Buku 30 Tahun Konvensyen Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Forum ini menjadi wadah perkongsian ilmu dan aspirasi pelbagai pihak dalam memartabatkan wanita Malaysia, manakala buku tersebut mendokumentasikan perjalanan tiga dekad Malaysia sebagai Negara Pihak CEDAW sejak 1995.
Antara pencapaian utama yang diketengahkan dalam tempoh 30 tahun ini ialah:
- Pindaan Akta Kerja 1955 – meningkatkan perlindungan pekerja wanita
- Akta Antigangguan Seksual 2022 & penubuhan Tribunal Antigangguan Seksual (TAGS)
- Gender Focal Point & Gender Focal Team di setiap Kementerian
- Dasar 30% wanita di peringkat pembuat keputusan
- Wanita mendahului dalam bidang akademik dengan skor Sub-Indeks Pendidikan 1.071 (2023)
KPWKM juga terus komited memastikan 60% kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI, serta membina negara yang lebih adil, inklusif dan berdaya saing.
Dalam majlis sama, Yang Berbahagia Datuk Dr. Maziah Che Yusoff , Ketua Setiausaha KPWKM turut berkongsi pengalaman Perjuangan Malaysia untuk CEDAW dan peranan KPWKM dalam memastikan setiap obligasi dipenuhi melalui pelaporan berkala, sesi dialog konstruktif di peringkat antarabangsa, serta kerjasama erat bersama pelbagai kementerian, agensi dan pertubuhan masyarakat sivil Malaysia.
Majlis turut dihadiri oleh YB Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, barisan pegawai tertinggi KPWKM, serta wakil agensi kerajaan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), SUHAKAM dan tokoh akademik .