KURSUS ASAS PENJAGAAN WARGA EMAS, SIRI 2/2026 ZON UTARA
13 Julai 2026
Selaras dengan aspirasi Belanjawan MADANI 2026 untuk melatih seramai 2,000 penjaga, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meneruskan komitmen memperkukuh sektor penjagaan menerusi penganjuran Kursus Asas Penjagaan Warga Emas Siri 2/2026 yang berlangsung pada 13 hingga 16 Julai 2026 di Alor Setar, Kedah.
Kursus ini diselaraskan oleh Bahagian Perancangan dan Kolaborasi Strategik bersama Sekretariat Sektor Penjagaan KPWKM, serta dikendalikan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Siri kali ini melibatkan pegawai dan kakitangan JKM dari Zon Utara yang merangkumi negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak, dengan penyertaan seramai 142 orang.
Penganjuran kursus ini bertujuan membekalkan peserta dengan pengetahuan asas serta kemahiran praktikal dalam penjagaan warga emas, sekali gus memperkukuh kompetensi tenaga penjaga agar mampu menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti, selamat, beretika dan berteraskan nilai ihsan.
Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan KPWKM dalam memperkasa ekosistem penjagaan serta meningkatkan kesejahteraan warga emas selaras dengan agenda Malaysia MADANI.