YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, telah tiba di Incheon, Korea bagi menghadiri APEC World Economy Forum and Ministerial Meeting dan APEC Women in STEM Symposium 2025.
Pada hari pertama, YB Menteri telah mengadakan lawatan rasmi ke Incheon Women’s Plaza yang merupakan sebuah pusat komuniti yang menjadi hab program pembangunan wanita bagi meningkatkan kepekaan gender dalam kalangan masyarakat, sokongan psikologi, latihan kemahiran dan pemadanan kerja kepada wanita yang mencari kerja dan yang hendak kembali bekerja.
Lawatan ini dimulakan dengan sesi taklimat oleh pihak Incheon Women’s Plaza dan seterusnya meninjau kemudahan fasiliti dan program yang ditawarkan seperti kelas kemahiran dandanan rambut dan kelas masakan. Incheon Women’s Plaza ini boleh dikunjungi oleh komuniti setempat pada bila-bila masa untuk mendapatkan perkhidmatan dengan bayaran yang sangat minimum.
YB Menteri meneruskan program di Incheon dengan menghadiri APEC Healthy Women, Healthy Economies (HWHE) Research Prize Dinner. Majlis ini bertemakan 'Healthy Women, Healthy Economies' bertujuan mengiktiraf penyelidikan inovatif untuk memperkukuh kesihatan dan penyertaan ekonomi wanita di rantau APEC. Sesi perkongsian pengalaman dari penyelidik memberi pengalaman baru kepada delegasi Malaysia berkaitan kepentingan penyelidikan dan data berasingan mengikut jantina bagi meningkatkan kesihatan, kesejahteraan dan penyertaan ekonomi wanita.