LENSA KPWKM

KPWKM SERTAI PERTUKARAN PRAKTIKAL ASEAN–AUSTRALIA BERKAITAN PERLINDUNGAN RUANG AWAM DAN INFRASTRUKTUR KRITIKAL

Program      28 Julai 2026      Indonesia    

KPWKM SERTAI PERTUKARAN PRAKTIKAL ASEAN–AUSTRALIA BERKAITAN PERLINDUNGAN RUANG AWAM DAN INFRASTRUKTUR KRITIKAL

28–29 Julai 2026

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai ASEAN–Australia Counter-Terrorism Practical Exchange on Good Practice Approaches to Protect Crowded Spaces, Vulnerable Targets and Critical Infrastructure yang dianjurkan bersama oleh Indonesia dan Australia.

Program ini menghimpunkan wakil Negara Anggota ASEAN, Australia serta badan-badan sektoral ASEAN bagi berkongsi pengalaman dan amalan terbaik dalam melindungi ruang awam yang sesak, sasaran rentan dan infrastruktur kritikal daripada ancaman keganasan. Sepanjang dua hari program, para peserta mengikuti pembentangan, sesi perbincangan, kajian kes dan latihan praktikal yang dikendalikan oleh pakar keselamatan serta wakil agensi berkaitan dari negara ASEAN dan Australia.

KPWKM telah diwakili oleh Puan Safriah binti Md Adzhar dan Dr. Nurul Huda binti Abdul Manaf dari Bahagian Kesejahteraan Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak. Selain itu, Malaysia juga diwakili oleh pegawai daripada Kementerian Dalam Negeri, Polis DiRaja Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan.

Program ini turut menyokong pelaksanaan Program Kerja SOMTC 2026–2028, Pelan Kerja Kerjasama SOMTC–Australia bagi Membanteras Jenayah Rentas Sempadan 2026–2030 serta Pelan Kerja Bali berkaitan pencegahan radikalisasi dan ekstremisme.

Antara topik utama yang dibincangkan ialah landskap ancaman keganasan semasa, pendekatan perlindungan kawasan tumpuan ramai, pengurusan risiko dan penilaian ancaman, perlindungan infrastruktur kritikal, kerjasama pelbagai agensi, komunikasi krisis, kerjasama awam-swasta serta pemulihan selepas insiden. Ancaman baharu seperti penggunaan dron, serangan siber dan gangguan terhadap sistem komunikasi turut diberikan perhatian.

Para peserta telah didedahlan dengan kepentingan menyediakan pelan pemindahan yang inklusif dan mudah diakses, sistem amaran dalam pelbagai bentuk, komunikasi krisis yang tepat serta sokongan psikososial dan berasaskan trauma kepada mangsa serta komuniti yang terjejas. Justeru, pendekatan ini perlu diselaras dengan polisi sedia ada, selain menggalakkan kerjasama antara agensi kerajaan, masyarakat sivil, ahli akademik dan komuniti tempatan.

Penyertaan KPWKM dalam program ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan serantau melalui pendekatan keseluruhan kerajaan dan keseluruhan masyarakat, dengan memastikan tiada golongan yang tercicir dalam setiap fasa pencegahan, kesiapsiagaan, tindak balas dan pemulihan.

Keselamatan ruang awam bermakna memastikan setiap individu, termasuk golongan yang memerlukan bantuan tambahan, dapat menerima maklumat, berpindah dengan selamat dan memperoleh perlindungan serta sokongan yang sewajarnya.

ATAS
Accessbility Option