KPWKM Menang 2 Anugerah Pembangunan
12 November 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memenangi dua anugerah pembangunan sempena Simposium Pembangunan dan Anugerah Pembangunan Negara 2025 yang disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
KPWKM telah meraih tempat pertama bagi Anugerah Prestasi Pembangunan Terbaik (Peruntukan di bawah RM1 Bilion) dengan pencapaian perbelanjaan pembangunan di bawah Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Tahun 2024 yang mencatatkan prestasi cemerlang.
Selain itu, KPWKM turut dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua bagi Anugerah Penilaian Outcome Kementerian Berprestasi Tinggi dengan mencatatkan markah cemerlang sebanyak 92.4% bagi Penilaian Outcome Program/Projek di bawah Jawatankuasa Kerja Pencapaian Outcome (JKPO) 2024 oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).
Kedua-dua anugerah tersebut telah disampaikan kepada YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM. Turut hadir, YBrs. Puan Nordina binti Haron, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Kebajikan Negara; YBrs. Encik Mohd Hanafee bin A Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara; YBrs. Encik Arfan bin Sulaiman, Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Jabatan Kebajikan Masyarakat; dan YBrs. Puan Syahidatul Aazimah binti Ahmad Sidique, Setiausaha Bahagian Pembangunan, KPWKM.
Sekalung syabas dan tahniah diucapkan kepada Bahagian, Jabatan dan Agensi yang terlibat. Kejayaan ini adalah hasil sinergi bersama. Teruskan melangkah demi merealisasikan misi dan visi KPWKM!