Kursus AI: Dari Operasi ke Strategik KPWKM
Selaras dengan aspirasi Kerajaan dalam mempercepatkan transformasi digital sektor awam, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menganjurkan Kursus AI: Dari Operasi ke Strategik yang menghimpunkan 40 orang pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional daripada Bahagian, Jabatan serta Agensi di bawah KPWKM.
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh kompetensi digital warga KPWKM melalui penguasaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) sebagai pemangkin kepada peningkatan produktiviti serta penyampaian perkhidmatan awam yang lebih cekap, berkesan dan berpaksikan data.
Sepanjang kursus, para peserta telah didedahkan kepada pelbagai aplikasi AI terkini seperti Gemini, Gemini Advanced, NotebookLM dan Deep Research, di samping menguasai teknik _prompt engineering_ serta pendekatan praktikal dalam mengintegrasikan AI ke dalam tugasan harian, analisis maklumat, penyediaan dokumen dan menyokong proses membuat keputusan yang lebih strategik.
Kursus ini bukan sekadar memperkenalkan teknologi AI, malah memperkasa peserta untuk memanfaatkan keupayaannya dalam meningkatkan produktiviti di samping memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan serta menghasilkan penyelesaian yang lebih strategik dan berimpak tinggi.
AI bukan lagi sekadar teknologi masa hadapan, tetapi keupayaan yang perlu dikuasai hari ini bagi membentuk perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berdaya saing.