KPWKM TERUS PERKUKUH PELAKSANAAN PROGRAM DAN PROJEK PEMBANGUNAN TAHUN 2026 BERORIENTASIKAN RAKYAT
25 September 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh pelaksanaan program/projek pembangunan di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Tahun 2026 dengan memberi keutamaan kepada impak dan manfaat program/projek yang berorientasikan rakyat.
Seiring dengan aspirasi Kerajaan untuk mempertingkat kesejahteraan rakyat, KPWKM komited memastikan setiap peruntukan pembangunan diterjemahkan kepada pelaksanaan yang cekap, berkesan dan berimpak tinggi, seterusnya memastikan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh kumpulan sasar dan masyarakat.
Komitmen ini telah dizahirkan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK) KPWKM Bilangan 9 Tahun 2026 yang telah dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM. Mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada perancangan pelaksanaan 51 program dan projek pembangunan sedia ada termasuk inisiatif di bawah Program Cakna MADANI dan Peruntukan B.11.
Selain itu, Mesyuarat berkenaan juga meneliti pembentangan mengenai Perancangan dan Hala Tuju bagi Projek Membina Pusat Autisme Kuching, Sarawak yang telah disampaikan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana.
Turut hadir, wakil Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Ekonomi (KE), Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM), JKR Sarawak, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), JKR Sarawak serta ICU JPM Sarawak.