SCAMTECH: BILA TEKNOLOGI MENJADI SENJATA PENIPU
22 Julai 2025
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Institut Sosial Malaysia (ISM) menganjurkan ISM Social Talk Siri 1/2025 bertajuk Scamtech: Bila Teknologi Jadi Senjata Penipu bertempat di Dewan Perdana Nur, KPWKM.
Tema ini dipilih kerana scammer kini tidak lagi menggunakan pendekatan tradisional semata-mata, sebaliknya memanfaatkan kecanggihan teknologi untuk memperdayakan mangsa melalui media sosial, e-mel, mesej teks, teknologi AI dan panggilan suara. Modus operandi mereka semakin meyakinkan sehingga ramai pengguna termasuk golongan profesional turut terperangkap.
Program pada hari ini turut menampilkan prospek/banduan yang dibawakan khas daripada Penjara Kajang, Jabatan Penjara Malaysia bagi slot perkongsian sebagai pedoman dan sempadan dalam perbuatan tersebut. Ahli panel yang mengupas isu tersebut ialah ASP Rastam Affandi bin Md Ramli selaku Ketua Bahagian Jenayah Komersial IPD Putrajaya (PDRM) dan Tuan Vijayadurai Singgatore, Manager BNM Regional Office, Kuala Lumpur.
Dengan kupasan tajuk tersebut, ia diharapkan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang bentuk penipuan teknologi terkini, memberi pendedahan kepada taktik manipulasi scammer digital, menyampaikan tip keselamatan digital yang praktikal kepada penonton dan seterusnya memberi ruang kepada mangsa berkongsi pengalaman sebagai pengajaran kepada orang lain.
Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBrs. Puan Farah?Adura?binti?Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM yang menyempurnakan majlis perasmian penutupan program.
Turut hadir ialah Puan Norhaslinda Mohd Sibi, Pengarah ISM, Tuan S. Rizuan bin Saidi, Timbalan Pengarah ISM, Barisan Pengurusan Tertinggi KPWKM, Ketua Jabatan dan Agensi KPWKM serta warga ISM.