Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026 – 2030
7 Mei 2026
Sebagai langkah memperkukuh ekosistem sosial yang lebih menyeluruh dan mampan, Pelan Tindakan Dasar Sosial Negara (PTDSN) 2026–2030 telah dilancarkan pada hari ini oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi, Timbalan Perdana Menteri.
Dibangunkan menerusi kerjasama 32 agensi melibatkan kementerian, kerajaan negeri, pihak swasta dan komuniti, pelan ini dirangka berasaskan empat teras utama dalam Dasar Sosial Negara (DSN) 2030, merangkumi 17 bidang keutamaan, 18 strategi dan 102 inisiatif. Pelaksanaan PTDSN 2026–2030 turut menekankan pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation bagi memastikan setiap intervensi dilaksanakan secara responsif, strategik dan mampan.
Pelan ini juga disokong dengan penetapan KPI yang jelas dengan mengambil kira tadbir urus yang diperkasa melalui pemanfaatan data raya, digitalisasi dan teknologi AI bagi memastikan penyampaian dasar lebih cekap, tepat dan adil.
YB Menteri KPWKM dalam ucapan aluannya turut menegaskan bahawa KPWKM akan terus memainkan peranan sebagai ‘caretaker’ dalam menyelaras dan memantau pelaksanaan inisiatif di bawah Dasar Sosial Negara 2030, dengan kerjasama erat semua pihak bagi memastikan setiap usaha yang dirancang dapat dilaksanakan secara efektif demi mengangkat darjat kesejahteraan sosial negara ke tahap yang lebih tinggi.
Di samping itu, Program ISM Bicara Eksekutif Siri 4/2026 bertajuk “Merealisasikan Dasar Sosial Negara 2030” juga telah diadakan pada hari ini bersempena dengan Majlis Pelancaran PTDSN 2026–2030. Forum ini bertujuan meningkatkan kefahaman tentang kerangka dan strategi Dasar Sosial Negara 2030, menghimpunkan pandangan pakar, serta membincangkan cabaran dan penambahbaikan bagi memastikan pelaksanaan yang berimpak tinggi.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Pelantikan Pengerusi Kluster Teras Dasar Sosial Negara 2030 dan penyampaian Sijil Pemenang Pertandingan Polisi Sosial Piala KPWKM.
Hadir sama dalam majlis hari ini ialah YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, YB Datuk Ts. Mustapha @ Mohd Yunus bin Sakmud, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Pegawai-pegawai Kanan Jabatan serta Agensi Kementerian.






