LENSA KPWKM

BENGKEL PEMURNIAN PENAMBAHBAIKAN GARIS PANDUAN KERJAYA INKLUSIF ORANG KURANG UPAYA (OKU) DI SEKTOR AWAM

Program      2 Oktober 2025      Putrajaya    

Bengkel Pemurnian Garis Panduan Kerjaya Inklusif Orang Kurang Upaya (OKU) di Sektor Awam

2 Oktober 2025

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) membuktikan komitmennya dalam memperkukuh agenda inklusif Malaysia MADANI khususnya bagi menyediakan peluang kerjaya yang lebih adil dan saksama kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di sektor awam dengan usaha mewujudkan Garis Panduan Kerjaya Inklusif OKU di Sektor Awam.

Sejajar dengan usaha ini, KPWKM melalui Bahagian Pengurusan Sumber Manusia telah menganjurkan Bengkel Pemurnian Garis Panduan Kerjaya Inklusif OKU di Sektor Awam bertempat di Putrajaya.

Bengkel telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menyeru semua peserta bengkel untuk bersama-sama JPA dan KPWKM dalam menjayakan penyediaan Garis Panduan ini dengan mengambil peluang dan mendapatkan penjelasan berhubung topik-topik yang disampaikan serta memberikan input serta cadangan penambahbaikan ke atas garis panduan ini.

Bengkel ini menjadi platform perbincangan bersama melibatkan Pengurus Sumber Manusia daripada Kementerian dan Agensi, wakil Ketua Perkhidmatan serta Pihak Berkuasa Melantik (PBM) bagi meneliti serta menambah baik kaedah pelaksanaan kerjaya inklusif.

Perbincangan ini turut memberi tumpuan kepada aspek kesesuaian jawatan yang boleh ditawarkan kepada golongan OKU di sektor awam.

Penganjuran bengkel ini turut disertai wakil daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Pengurus Sumber Manusia serta wakil PBM. Antara pengisian utama ialah Taklimat Dasar Pengambilan dan Pengurusan Inklusif OKU, Program Bicara mengenai Perkongsian Kerjaya OKU serta sesi berkaitan OKU Mental dari perspektif psikiatri.

Turut hadir ialah YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM bersama pegawai-pegawai kanan kementerian dan jabatan di bawah KPWKM.

ATAS
Accessbility Option