Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2025
30 Oktober 2025
Kaunselor masa kini memainkan peranan penting sebagai pendengar yang empatik serta pemangkin perubahan sosial yang beretika dan inovatif. Dalam dunia digital yang serba pantas, sokongan emosi kini boleh dicapai hanya di hujung jari, menandakan evolusi kaunseling seiring kemajuan teknologi.
YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, hari ini telah merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Bertemakan “Kaunseling Era Digital: Santuni Emosi, Sejahtera Insani”, sambutan tahun ini menzahirkan bagaimana kemajuan teknologi telah memperluas capaian perkhidmatan kaunseling, namun nilai ihsan dan empati tetap kekal sebagai tunjang utama dalam mendepani cabaran kesejahteraan emosi masyarakat.
Antara inisiatif penting yang digerakkan oleh KPWKM ialah memperkukuh peranan Sukarelawan Kaunselor Berdaftar (SKB) sebagai wira lapangan yang mendekati masyarakat melalui Talian Kasih 15999 dan pelbagai program komuniti. Sehingga September 2025, lebih 9,700 kes telah ditangani, termasuk bantuan Psychological First Aid (PFA) kepada mangsa tragedi kemalangan pelajar UPSI.
Kempen “Awak OK Tak? Jom Kongsi!” yang digerakkan oleh KPWKM turut menyeru rakyat Malaysia agar lebih terbuka berkongsi perasaan dan pengalaman mereka. Ungkapan “Awak OK Tak?” bukan sekadar pertanyaan, tetapi lambang keprihatinan dan tanda bahawa kita peduli bahawa mereka tidak berseorangan.
Dalam majlis ini, YB Dato’ Sri Hajah Nancy turut menyampaikan sijil penghargaan N.A.D.I kepada badan bukan kerajaan (kaunseling) sebagai tanda pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam memperkukuh profesion kaunseling di Malaysia.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Encik Mohd Daud bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KPWKM; Tuan Haji Sadli bin Osman, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Kaunselor Malaysia; serta pegawai-pegawai kanan Kementerian.