LENSA KPWKM

ASEAN ENERGY GENDER WEEK 2026

Aktiviti      30 Mac 2026      Dusit Thani Hotel, Makati City, Filipina    

ASEAN Energy Gender Week 2026

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai ASEAN Energy Gender Week 2026 yang berlangsung dari 30 Mac sehingga 2 April 2026 di Dusit Thani Hotel, Makati City, Filipina. Forum Gender Tenaga ASEAN yang pertama telah dianjurkan semasa Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025, dengan bersandarkan kepada prinsip Peralihan Tenaga yang Saksama dan Inklusif dalam rangka kerja dasar tenaga ASEAN.

Momentum ini diperkukuhkan lagi dengan pelancaran Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026–2030 yang menetapkan integrasi Gender Equality, Disability, and Social Inclusion (GEDSI) dalam usaha untuk menyokong peralihan tenaga yang inklusif dan meningkatkan akses kepada tenaga.
Program ini dianjurkan oleh ASEAN Centre for Energy (ACE) dengan kerjasama World Bank, Clean Energy Ministerial (CEM), Oxfam International dan ASEAN Climate Change and Energy Project (ACCEPT). ASEAN Energy Gender Week 2026 merupakan satu platform kolaboratif ASEAN bagi peralihan tenaga dengan objektif seperti berikut:

-Menyediakan ruang bagi sesi dialog dengan pelbagai pihak berkepentingan dari kalangan wakil kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), organisasi masyarakat sivil (CSO), serta wakil industri dari kalangan profesional dan pakar akademik dalam bidang peralihan tenaga

-Menyokong pelaksanaan Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2030 untuk mengintegrasikan elemen GEDSI ke dalam dasar dan perancangan tenaga

Puan Salwana binti Tan Sri Dato’ Mahmood turut berkongsi perspektif Malaysia dalam mengarusperdana gender melalui pelantikan Gender Focal Point dan Gender Focal Team di semua Kementerian dan Agensi, serta program khusus bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam industri berkemahiran tinggi seperti TVET, STEM, teknologi hijau dan tenaga yang disasarkan dalam Bidang Keutamaan Ekonomi di bawah Dasar Wanita Negara yang dilancarkan pada tahun 2025.

Delegasi Malaysia diwakili oleh Puan Salwana binti Tan Sri Dato’ Mahmood dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Puan Eleine Juliana binti Malek dari Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) dan Encik Amirul Aiman bin Ahmad Ridzuan dari Kementerian Sumber Manusia.

Selain itu, wakil dari National Council for the Blind, Malaysia Encik Wong Yoon Loong turut dijemput dalam program ini, menunjukkan sinergi dalam memastikan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society dalam memacu matlamat peralihan tenaga yang saksama dan inklusif di Malaysia.

ATAS
Accessbility Option