LENSA KPWKM

MAJLIS PENUTUPAN PROGRAM ABLE FOR DISABLE DAN PENYAMPAIAN SIJIL KURSUS PENGENALAN JOB COACH AEON 2026

Program      22 September 2026      Shah Alam, Selangor    

Majlis Penutupan Program Able for Disable dan Penyampaian Sijil Kursus Pengenalan Job Coach AEON 2026

22 September 2026

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa menyokong usaha dan inisiatif yang dilaksanakan sektor kerajaan, swasta atau NGO dalam menyediakan sistem sokongan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi membolehkan mereka membina kerjaya secara berterusan.

Pelaksanaan Program Able for Disable oleh AEON Company (M) Berhad dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) ini menjadi contoh yang baik dalam memperkukuh budaya pekerjaan yang inklusif.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam ucapannya menghargai majikan yang membuka pintu pekerjaan kepada OKU, malah menyediakan sistem sokongan yang membolehkan mereka membina kerjaya secara berterusan. Justeru, YB Menteri melihat usaha AEON yang telah lebih empat dekad bertapak di Malaysia sebagai satu contoh yang sangat baik.

Melalui program ini, seramai 171 kakitangan OKU dan 122 pemimpin AEON telah mengikuti latihan yang memberikan penekanan kepada aspek komunikasi, keyakinan diri, kefahaman tentang ketidakupayaan, kepimpinan serta sokongan di tempat kerja.

Majlis hari ini turut meraikan peserta yang telah berjaya menamatkan Kursus Pengenalan Job Coach. Program ini adalah selari dengan agenda KPWKM dalam menyediakan sokongan pekerjaan kepada OKU agar dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan, menjalankan tugas dengan lebih berkesan serta kekal bekerja.

Antara inisiatif lain yang dilaksanakan JKM dan JPOKU bagi memperkukuh aksesibiliti dan penyertaan golongan OKU termasuk latihan kemahiran di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Disability Equality
Training (DET), Bengkel Daya, perkhidmatan pemulihan dalam komuniti, advokasi serta program-program pembangunan kapasiti.

Penyertaan golongan OKU perlu dilihat sebagai hak dan kesaksamaan dalam pembangunan negara. Semoga lebih banyak ruang dan peluang pekerjaan berkualiti dapat dibuka kepada golongan OKU di seluruh negara.

ATAS
Accessbility Option