International Conference on Community-Based Care Systems and Community Resilience
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyertai International Conference on Community-Based Care Systems and Community Resilience yang berlangsung pada 6 hingga 8 Mei 2026 di Bangkok, Thailand.
Persidangan ini menghimpunkan pembuat dasar, penyelidik dan organisasi antarabangsa dari rantau Asia Pasifik bagi membincangkan pendekatan terbaik dalam menghadapi cabaran penuaan penduduk serta memperkukuh sistem penjagaan berasaskan komuniti.
Malaysia diwakili oleh Puan Siti Nurul Munawirah binti Mohamad Roslan, Pegawai Unit Dasar Warga Emas, Bahagian Dasar dan Perancangan Strategik, KPWKM.
Dalam sesi pembentangan, Malaysia telah berkongsi pelbagai dasar dan amalan terbaik berkaitan kesejahteraan warga emas yang dilaksanakan melalui KPWKM bersama agensi di bawah kementerian serta kerjasama rentas kementerian dan komuniti setempat.
Antara inisiatif yang diketengahkan termasuk:
~ Program berasaskan komuniti melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW)
~ Program Jiran Usia Warga Emas
~ Program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN)
~ Peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JPKK)
~ Pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa kesejahteraan warga emas
KPWKM turut berkongsi perkembangan pembangunan Rang Undang-Undang Warga Emas yang dijangka menjadi langkah penting dalam memperkukuh perlindungan, penyelarasan serta tadbir urus sistem sokongan warga emas di Malaysia.
Penyertaan Malaysia dalam persidangan ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sistem penjagaan yang inklusif, responsif dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat, khususnya warga emas.
Perkongsian Malaysia juga telah menyumbang kepada penyediaan Bangkok Recommendations sebagai panduan tindakan serantau bagi memperkukuh sistem penjagaan komuniti dan kesejahteraan warga emas di rantau Asia Pasifik.