Mewakili Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM telah menghadiri Mesyuarat Pembukaan Sesi Ke-69 Commission on the Status of Women (CSW 69). Tema utama mesyuarat CSW69 ialah “The review and Appraisal of the Implementation of the Beijing Declaration and Platform for Action and the Outcomes of the 23rd Special Session of the General Assembly.” Mesyuarat ini disertai oleh negara ahli CSW dan sedang berlangsung dari 10 hingga 21 Mac 2025.
Mesyuarat hari pertama telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Pengerusi CSW69 dan diteruskan dengan ucapan oleh pegawai-pegawai tertinggi PBB serta wakil-wakil dari kumpulan serantau. Pada sebelah petang, telah berlangsung High-level Interactive Dialogue with Regional Commissions dan para delegasi telah membincangkan Hasil Penilaian Pelaksanaan Deklarasi Beijing di Peringkat Serantau.
YBhg. Datuk Dr. KSU turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Pemberdayaan Perempuan dan Perlindungan Anak, Indonesia, Puan Arifatul Choiri Fauzi. Kedua-dua pihak membincangkan mengenai pelbagai perkara termasuk usaha untuk menaik taraf ekonomi wanita di desa, menangani keganasan terhadap wanita dan cabaran pendigitalan terhadap kanak-kanak.
Pada hari yang sama, mewakili YB Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YBhg. Datuk Dr. KSU telah menyampaikan Ucaptama semasa Acara Sampingan anjuran Indonesia dan India. Acara tersebut bertajuk “Shaping an Inclusive Digital Economy: Indonesia & India’s Leadership and ASEAN’s Collaborative Vision”. Antara yang disampaikan oleh Malaysia adalah pentingnya usaha bersepadu oleh pelbagai pihak bagi menangani jurang digital di antara gender.
LENSA KPWKM
SESI KE-69 COMMISSION ON THE STATUS OF WOMEN (CSW 69), IBU PEJABAT PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT
Program 10 March 2025 New York, Amerika Syarikat