Rotary District Conference 2026
23 Mei 2026
Hari ini, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menghadiri Rotary District Conference 2026 yang berlangsung di ibu negara.
Bertemakan “Unite for Good”, program ini merupakan sokongan KPWKM terhadap usaha Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membina masyarakat yang lebih inklusif, prihatin dan sejahtera.
Dalam ucapan beliau, YB Menteri menekankan bahawa di sebalik setiap statistik dan angka yang direkodkan, terdapat kisah sebenar individu serta keluarga yang sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran kehidupan.
KPWKM terus komited dalam memperkasakan golongan rentan termasuk ibu tunggal, wanita ketua isi rumah, kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, program pemerkasaan komuniti serta penyediaan sistem sokongan yang lebih menyeluruh.
Pada masa yang sama, usaha memperkukuh kesedaran mengenai autisme, kesejahteraan keluarga dan pembangunan masyarakat yang lebih inklusif akan terus diperkasa bagi memastikan setiap individu memperoleh akses kepada sokongan, peluang dan persekitaran yang lebih baik.
Kerjasama strategik antara Kerajaan,NGO, badan sukarelawan dan masyarakat sivil memainkan peranan penting dalam memastikan bantuan serta intervensi yang dilaksanakan dapat memberi impak yang lebih berkesan dan berterusan kepada kumpulan sasar selaras dengan Aspirasi Malaysia MADANI.
Reruai perkhidmatan Jabatan dan Agensi turut diadakan menerusi program ini sebagai usaha mendekatkan perkhidmatan KPWKM kepada masyarakat. Turut hadir ialah YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Puan Roshmahwati binti Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat, Encik Holger Knaack, Bekas Presiden Rotary International dan Pengerusi Pemegang Amanah The Rotary Foundation, Encik Edward Khoo, Gabenor Wilayah 3300 dan Dr Shahul Hameed, Gabenor Wilayah 3310.