Telah berlangsung sesi perjumpaan Ketua Setiausaha KPWKM, YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff bersama warga KPWKM dalam suasana santai bertujuan untuk menyampaikan informasi-informasi terkini berkaitan Kementerian.
YBhg. Datuk Dr. Maziah dalam ucapannya menjelaskan bahawa sesi 'Coffee Klatch' telah dilaksanakan di negara Jerman selepas waktu kerja (secara tidak rasmi) bagi pengurusan tertinggi berjumpa dengan staf dan membincangkan isu di pejabat bagi melancarkan tugasan harian. Beliau mengharapkan melalui sesi ini, kekuatan para pegawai dapat dikenal pasti dalam usaha untuk menambahbaik mutu perkhidmatan KPWKM.
Beliau juga menyeru penjawat awam untuk menerapkan dalam diri konsep MADANI dan semangat M.A.L.A.Y.S.I.A yang telah diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar bagi mengukuhkan gerak kerja perkhidmatan awam dan penyampaian yang lebih berkesan. Setiap individu khususnya warga KPWKM perlu memainkan peranan masing-masing agar dapat memberikan impak kepada negara terutama kumpulan sasar Kementerian.
YBhg. Datuk Dr. KSU mengharapkan komitmen warga kerja KPWKM untuk sama-sama menyokong aspirasi Kerajaan dan melaksanakan reformasi ke arah pemantapan fungsi dan operasi Kementerian.
Seusai program, YBhg. Datuk Dr. KSU mengagihkan bubur lambuk kepada warga KPWKM sebagai simbol kebersamaan dan memperkukuh ukhuwah dalam kalangan warga Kementerian di bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini.
Turut sama hadir dalam program ini ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), YBrs. Encik Mohd Daud bin Mohd Arif dan Pengerusi PUSPANITA KPWKM, YBrs. Puan Hanani binti Sapit.