Mesyuarat Agung PUSPANITA Cawangan KPWKM Kali ke 22 telah diadakan di Dewan Perdana Nur, KPWKM yang disertai oleh 245 ahli PUSPANITA KPWKM bersama isteri-isteri penjawat awam.
Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Dr. Maziah binti Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM merangkap Penasihat PUSPANITA KPWKM. Mesyuarat Agung Cawangan KPWKM kali ke-22 ini diadakan bagi melaporkan kesemua program dan aktiviti sepanjang tahun 2024, pembentangan penyata kewangan tahun berakhir 31 Disember 2024 dan pembentangan usul/cadangan oleh ahli PUSPANITA.
YBhg. Datuk Dr. Ketua Setiausaha KPWKM juga turut menyampaikan sumbangan Kasih PUSPANITA dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Negara kepada 20 orang ahli PUSPANITA Cawangan KPWKM. Sumbangan Kasih PUSPANITA ini adalah untuk menyantuni ahli PUSPANITA yang merupakan ibu tunggal dan OKU sebagai membantu persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Turut disediakan gerai-gerai jualan yang menawarkan pelbagai aneka kuih raya dan barangan untuk dibeli oleh ahli-ahli PUSPANITA yang hadir sempena meraikan kemeriahan bulan Ramadan dan persiapan menyambut hari raya. Selain itu, Jawatankuasa Majlis Bersama Jabatan KPWKM turut mengadakan ' Free Market' Amal Ramadan yang menawarkan pelbagai buku, barang-barang keperluan harian dan pakaian kepada warga KPWKM yang memerlukan.
Tidak terkecuali juga Yayasan Kebajikan Negara turut menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat yang bertujuan untuk memberi sokongan sosial kepada semua warga KPWKM yang hadir.
Turut hadir menjayakan Mesyuarat Agung PUSPANITA ini ialah YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha Operasi KPWKM, YBrs. Puan Hanani Binti Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita merangkap Pengerusi PUSPANITA Cawangan KPWKM,
Puan Sarina Begum binti Mohd Orfan Khan, isteri kepada Timbalan Ketua Setiausaha Strategik KPWKM, YBhg. Datin Damithah binti Burhanuddin, isteri kepada Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan YBrs. Puan Nordina binti Haron, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara merangkap Timbalan Pengerusi PUSPANITA III.