Berikutan kejayaan besar Program Kembara KASIH KPWKM di Sarawak pada 2024, Kementerian meneruskan lagi program ini pada tahun 2025. Sabah menjadi destinasi kembara seterusnya dengan membawakan pelbagai perkhidmatan KPWKM terus kepada kumpulan sasar!
Bagi memastikan program ini berjalan dengan lancar, KPWKM telah mengadakan Mesyuarat Penyelarasan Induk Kembara KASIH KPWKM 2025 Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), KPWKM di Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sabah.
Tujuan Mesyuarat Penyelarasan Induk ini diadakan adalah untuk mendapatkan pandangan, maklum balas dan sokongan dari semua Jabatan/Agensi Peringkat Negeri dan Persekutuan berkaitan penganjuran Kembara KASIH KPWKM Edisi Kedua yang dijadualkan berlangsung di negeri Sabah pada 16 hingga 18 Mei 2025 (Zon I - Tuaran, Papar dan Penampang) dan 22 hingga 24 Mei 2025 (Zon II - Lahad Datu, Kunak dan Tawau).
Mesyuarat Penyelarasan Induk ini melibatkan 18 Jabatan/Agensi Peringkat Persekutuan, 10 Jabatan/Agensi di Peringkat Negeri dan tujuh (7) Jabatan/Agensi di bawah KPWKM.
Turut sama hadir dalam mesyuarat ini ialah Encik John Sebastian Tunggolou, Pegawai Khas kepada YAB Ketua Menteri Sabah, YBhg. Datuk Roslie bin Ibrahim, Setiausaha Sulit kepada YB Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YBrs. Encik Mohd Hanapi bin Mohammad Hanipah, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan, KPWKM serta wakil daripada jabatan/agensi di bawah KPWKM dan agensi lain yang terlibat.