Telah berlangsung Program Outreach Perakaunan dan Kewangan yang diadakan secara dalam talian anjuran Bahagian Akaun KPWKM dengan kerjasama strategik Bahagian Kewangan, Unit Audit Dalam dan Bahagian Pengurusan Maklumat.
Program yang julung-julung kali diadakan di KPWKM ini merupakan satu platform untuk pegawai-pegawai di peringkat kementerian berinteraksi secara serentak dengan pegawai perakaunan yang berada di 186 PTJ seluruh Malaysia, bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan perakaunan dan kewangan. Ia juga bertujuan membina serta memperkuat jalinan hubungan dan rangkaian komunikasi antara Kementerian dan PTJ.
YBhg. Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha, KPWKM dalam amanatnya menyeru pegawai perakaunan untuk menerapkan semangat M.A.L.A.Y.S.I.A yang telah diperkenalkan oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar dan menyokong aspirasi Kerajaan dalam melaksanakan reformasi perkhidmatan awam bagi memantapkan fungsi dan operasi Kementerian mengukuhkan gerak kerja yang lebih berkesan kepada kumpulan sasar.
Semasa merasmikan program tersebut, YBrs. Puan Farah Adura binti Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), KPWKM turut mengingatkan pegawai perakaunan agar sentiasa mengamalkan nilai integriti yang tinggi, bijaksana dan jujur dalam memikul amanah yang diberikan agar pengurusan perakaunan dan kewangan KPWKM dapat diuruskan dengan cekap, teratur dan berkesan. Beliau juga mengingatkan pegawai perakaunan supaya mengambil perhatian dan cakna berkenaan peraturan kewangan yang berkuatkuasa.
Program yang disertai oleh lebih daripada 300 orang pegawai perakaunan dijalankan melalui Breakout Session turut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti seperti taklimat, kuiz, soal jawab, permainan dan tayangan video oleh pegawai dari Bahagian Akaun dan Bahagian Kewangan KPWKM.