Program Jom Baca Peringkat Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi tahun 2025 telah diadakan pada hari ini dan telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Farah Adura Hamidi, Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) KPWKM bertempat di Auditorium Aras 7, KPWKM. Program ini adalah salah satu usaha untuk melahirkan bangsa Malaysia yang mengamalkan budaya membaca dan mempunyai fikiran kelas pertama serta sebagai tanda solidariti menyokong Kempen Membaca Kebangsaan yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia bersempena Hari Buku dan Hakcipta yang disambut pada 23 April setiap tahun.
Bertemakan “Nikmati Saat Ini”, program ini juga merupakan satu inisiatif yang cukup baik kerana mampu membugarkan kembali amalan membaca yang bukan sahaja menjadi tuntutan agama malah selari dengan hasrat negara bagi mewujudkan masyarakat yang berpengetahuan (Knowledge Society). Tema ini turut mengajak masyarakat untuk menghargai dan memberi sepenuh perhatian kepada setiap detik dalam hidup, tanpa dibebani oleh kenangan masa lalu atau kebimbangan tentang masa depan, merasai keindahan sekeliling serta mensyukuri setiap momen yang diberi. Membaca juga memberi kita ruang untuk berehat daripada kesibukan seharian dan membiarkan diri kita hanyut dalam kisah yang dicipta oleh penulis.
Antara pengisian program pada hari ini ialah Ceramah Teknik Bacaan Pantas bertajuk “Penataran Bacaan Pantas Untuk Membina Masyarakat Berpengetahuan” yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Yazid bin Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pustakawan USIM dan Kuiz Jom Baca yang terbuka kepada semua peserta.
Program turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah bagi kategori Anugerah Pembaca Terbanyak 2024 yang dimenangi oleh Puan Nur Ibtisam binti Ilman daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala Pusat Sumber Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah menerima Anugerah Penyumbang Maklumat Terbanyak Repositori.
Tahniah diucapakan kepada Bahagian Khidmat Pengurusan melalui Pusat Sumber KPWKM atas penganjuran program seumpama ini. KPWKM sentiasa menyokong penuh usaha sebegini sebagai galakan untuk menjadikan budaya membaca sebagai gaya hidup kerana membaca adalah kunci kepada segala kemajuan.