LENSA KPWKM

KPWKM RANGKUL ANUGERAH PENARAFAN PLATINUM PENGURUSAN ADUAN AWAM 2025

Program      30 September 2025      Putrajaya    

KPWKM Rangkul Anugerah Penarafan PLATINUM Pengurusan Aduan Awam 2025

30 September 2025

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sekali lagi melakar kejayaan apabila menerima Penarafan Tertinggi “Platinum” bagi prestasi Pengurusan Aduan Awam Tahun 2025 sempena Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam anjuran Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (BPA, JPM).

YBrs. Puan Rozilah Binti Katan, Ketua Unit Komunikasi Korporat KPWKM hadir mewakili Ketua Setiausaha KPWKM bagi menerima anugerah berprestij yang telah disampaikan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara di Dewan Damar, Kompleks F, Putrajaya.

Untuk makluman, penarafan yang diberikan adalah berdasarkan penemuan dan analisis yang dilaksanakan oleh Pasukan Naziran di KPWKM pada 15 Julai 2025. Sehubungan itu, Jawatankuasa Panel Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam pada 28 Ogos 2025 telah mempertimbang dan bersetuju bahawa KPWKM layak dianugerahkan penarafan tertinggi iaitu “Platinum” dengan dengan julat markah antara 90-100%.

Selain itu, majlis ini juga diadakan bagi mengiktiraf usaha kementerian-kementerian dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui pengurusan aduan yang berkesan dengan mematuhi pekeliling, tatacara dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Melalui majlis ini, Ketua Setiausaha Negara turut merasmikan Kamus Kategori Aduan. Kamus ini akan berperanan dalam menyelaras sistem aduan merentas kementerian dan agensi, agar setiap aduan dapat ditangani dengan lebih cepat, adil dan berkesan.

Setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada Penyelaras Aduan agensi di bawah KPWKM serta semua warga kementerian atas usaha berterusan dalam memperkasa mutu tadbir urus aduan awam. Pencapaian ini memberi gambaran positif akan komitmen KPWKM dalam mengekalkan budaya kerja yang cemerlang dan berintegriti, demi memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

ATAS
Accessbility Option