Santun Kasih Perkasa Pemandiri, Perkukuh Komuniti Tangani Keganasan
20 Ogos 2026
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) terus giat melaksanakan advokasi serta program berbentuk pencegahan, perlindungan dan pemulihan bagi menangani isu keganasan terhadap wanita.
Program Santun Kasih Pemandiri
@Keganasan Rumah Tangga atau SARI@KRT yang telah dirasmikan pada hari ini oleh YB Dato’ Seri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, merupakan inisiatif baharu yang memberi fokus khusus kepada pemandiri yang terlibat secara langsung dalam usaha menangani keganasan terhadap wanita dan keganasan rumah tangga.
Sokongan kepada pemandiri keganasan rumah tangga terus diperkukuh melalui penyampaian maklumat, sokongan psikososial, akses kepada bantuan perundangan, perlindungan, rujukan kepada perkhidmatan yang bersesuaian serta program pemerkasaan yang dapat membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih yakin dan selamat.
Isu keganasan rumah tangga menuntut kesepaduan tindakan yang serius dan komitmen berterusan daripada semua pihak. KPWKM bersama agensi di bawahnya akan terus komited membendung keganasan rumah tangga serta memastikan setiap mangsa mendapat perlindungan, pembelaan dan akses kepada bantuan yang sewajarnya.
Turut hadir pada majlis itu ialah YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, ; YBhg. Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM; YBhg. Dato’ Ruziah Haji Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM; YBrs. Encik Mohd Daud Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPWKM; YBrs. Puan Hanani Sapit, Ketua Pengarah JPW: YBrs. Dato’ Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN); Dr. Julitta Onabanjo, wakil United Nations Population Fund (UNFPA) di Malaysia; serta pegawai-pegawai kanan jabatan dan agensi Kementerian.