LENSA KPWKM

SESI TOWNHALL SINERGI PEMANTAPAN TADBIR URUS KEWANGAN DAN PERAKAUNAN BERSAMA PUSAT TANGGUNGJAWAB (PTJ), KPWKM

Program      15 April 2026      KPWKM    

Sesi Townhall Sinergi Tadbir Urus Pengurusan Kewangan dan Perakaunan bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) KPWKM

15 April 2026

Bagi memperkukuh pengurusan kewangan yang berteraskan ketelusan, akauntabiliti dan integriti, hari ini telah berlangsung Sesi Townhall Sinergi Tadbir Urus Pengurusan Kewangan dan Perakaunan bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang melibatkan seramai 240 peserta secara bersemuka serta 251 peserta secara dalam talian.

Sesi townhall ini diadakan dengan beberapa objektif utama antaranya memperkukuh kefahaman warga kerja terhadap dasar, peraturan serta arahan semasa berkaitan pengurusan kewangan dan perakaunan, di samping menyelaras pelaksanaan tadbir urus kewangan antara Kementerian dan PTJ agar lebih cekap, tersusun dan berimpak tinggi.

Selain itu, sesi ini turut menjadi platform penting untuk membincangkan isu, cabaran serta cadangan penambahbaikan secara kolektif, seterusnya memastikan pematuhan berterusan terhadap kawalan dalaman dan memperkukuh akauntabiliti dalam setiap urusan kewangan. Pendekatan komunikasi dua hala yang diketengahkan juga membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan secara menyeluruh.

Dalam sesi tersebut, Yang Berbahagia Datuk Dr. Maziah Che Yusoff, Ketua Setiausaha KPWKM telah menyampaikan amanat yang menekankan kepentingan pengamalan perbelanjaan secara berhemah, pelaksanaan pengurusan perolehan yang lebih strategik dan terancang, serta pengukuhan budaya integriti dalam kalangan warga kementerian.

KPWKM kekal komited dalam memastikan pengurusan kewangan dan perakaunan dilaksanakan secara cekap, telus dan berintegriti. Melalui sinergi yang diperkasakan ini, diharapkan sistem tadbir urus kewangan akan terus dipertingkat ke arah kecemerlangan penyampaian perkhidmatan awam.

Turut hadir dalam majlis ini ialah YBhg. Datin Safida Zalma Binti Mohd Piah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBrs. Encik Mohd Daud Bin Mohd Arif, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Setiausaha-setiausaha Bahagian serta barisan pengurusan PTJ.

ATAS
Accessbility Option