Mesyuarat dan Sidang Media Khas Mengenai Keganasan Rumah Tangga
29 April 2026
KPWKM memandang serius isu keganasan rumah tangga yang berlaku di negara ini. Selari dengan itu, Mesyuarat dan Sidang Media Khas Mengenai Keganasan Rumah Tangga telah diadakan pada hari ini yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri KPWKM bagi meneliti perundangan, pencegahan dan pengurusan kes keganasan rumah tangga.
Perbincangan rentas Kementerian pada hari ini juga bertujuan untuk merencana langkah-langkah bagi menambahbaik prosedur dan sistem sedia ada serta menentukan tindakan susulan yang akan diambil terhadap pelaku, sekali gus memastikan kes seumpama ini tidak berulang pada masa akan datang.
?YB Menteri menegaskan bahawa dalam menangani isu ini, tumpuan perlu dibahagikan kepada dua fasa utama iaitu:
(i) Langkah pra-keganasan rumah tangga yang menekankan pencegahan.
(ii) Langkah pasca-keganasan rumah tangga yang memastikan proses sokongan berjalan dengan berkesan.
Selain itu, antara perkara yang diberi penekanan ialah menambah usaha untuk
meningkatkan kesedaran awam mengenai keganasan rumah tangga kerana masih ramai mangsa yang kekal diam sehingga keadaan menjadi kritikal.
Kesedaran komuniti juga perlu terus dipertingkat agar mereka peka sekiranya mengetahui ada kes keganasan rumah tangga yang berlaku di sekeliling mereka dan segera mendapatkan bantuan melalui seluran seperti Talian Kasih 15999, PDRM dan perkhidmatan perlindungan oleh JKM.
KPWKM juga akan terus meneliti lanjut beberapa syor yang dibincangkan bagi memastikan kebolehlaksanaan dan kelancaran pelaksanaan penambahbaikan itu kelak.
Kerjasama dan penglibatan aktif semua pihak diharapkan dapat diteruskan dengan penuh komitmen demi memastikan kes keganasan rumah tangga dapat ditangani dengan segera, menyeluruh dan berkesan demi keselamatan dan kesejahteraan seluruh lapisan masyarakat.