LENSA KPWKM

MEMPERKUKUH KEPEKAAN GENDER KE ARAH PERKHIDMATAN AWAM YANG LEBIH INKLUSIF DAN RESPONSIF GENDER

Program      21 Oktober 2026      Cyberjaya    

MEMPERKUKUH KEPEKAAN GENDER KE ARAH PERKHIDMATAN AWAM YANG LEBIH INKLUSIF DAN RESPONSIF GENDER

21 Oktober 2026

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Unit Wanita dan Gender, Bahagian Kesejahteraan Wanita, Kanak-Kanak dan Keluarga (BWKK) telah menganjurkan Bengkel Kepekaan Gender Tahun 2026 yang menghimpunkan Gender Focal Point (GFP), Gender Focal Team (GFT) serta pegawai daripada pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.

Bengkel ini telah dirasmikan oleh Puan Safriah Md Adzhar, Setiausaha Bahagian BWKK, manakala majlis penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ruziah Haji Shafei, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KPWKM.

Dalam ucapan perasmian, Puan Safriah menekankan bahawa kepekaan gender bukan sekadar memahami perbezaan antara wanita dan lelaki, tetapi juga memastikan dasar, program dan keputusan kerajaan mengambil kira keperluan, peranan serta cabaran yang berbeza dalam kalangan masyarakat. Pendekatan ini penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih inklusif, responsif dan saksama.

Antara pengisian utama bengkel ialah:

- Kepekaan gender dalam perkhidmatan awam;
- Pengenalan kepada Gender Impact Assessment (GIA), Gender Audit (GA) dan Gender Responsive Budgeting (GRB);
- Jurang gender dalam kehidupan dan perkhidmatan awam; serta
- Peranan strategik GFP dan GFT dalam memperkukuh pelaksanaan pengarusperdanaan gender.

Berteraskan pendekatan keseluruhan kerajaan (Whole-of-Government Approach), bengkel ini turut menampilkan perkongsian kepakaran dan pengalaman daripada wakil Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Universiti Malaya (UM), Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Penang Women’s Development Corporation (PWDC). Kerjasama rentas sektor ini mencerminkan kepentingan penyelarasan dan komitmen bersama dalam memperkukuh agenda kesaksamaan gender.

Dalam ucapan penutup, YBhg. Dato’ Ruziah menyeru agar setiap GFP dan GFT mengenal pasti sekurang-kurangnya satu inisiatif pengarusperdanaan gender untuk dilaksanakan pada tahun 2027, dengan menetapkan sasaran, garis masa dan mekanisme pemantauan yang jelas.

Beliau turut menegaskan bahawa ilmu dan kefahaman yang diperoleh sepanjang bengkel perlu diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan boleh diukur, khususnya dalam perancangan dasar, pelaksanaan program, pengagihan sumber serta penilaian keberhasilan inisiatif kerajaan.

Penganjuran bengkel ini mencerminkan komitmen berterusan KPWKM dalam memperkukuh pelaksanaan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030, selaras dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 5: Kesaksamaan Gender.

Daripada kesedaran kepada tindakan, daripada komitmen kepada keberhasilan. Bersama kita memperkukuh pengarusperdanaan gender demi perkhidmatan awam yang lebih inklusif, responsif dan saksama.

ATAS
Accessbility Option