LENSA KPWKM

SAMBUTAN HARI WANITA ANTARABANGSA 2026 (SHWA2026)

Program      10 Mac 2026      Kuala Lumpur    

Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 (SHWA2026)

10 Mac 2026

YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri telah merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2026 di MITEC, Kuala Lumpur. Majlis ini menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasa wanita sebagai tunjang keluarga, masyarakat dan rakan kongsi strategik dalam pembangunan negara. Kehadiran beliau bersama YB Dato’ Sri Hajah Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, memperkukuh mesej bahawa agenda wanita kekal menjadi keutamaan nasional.

YAB Perdana Menteri dalam ucapannya menekankan peranan wanita sebagai pemacu pembangunan nasional diikuti ucapan Menteri KPWKM yang menggariskan pencapaian wanita dalam kepimpinan, ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan.

Dalam majlis ini juga, penyampaian Anugerah SHWA2026 telah diadakan sebagai pengiktirafan kepada tokoh dan organisasi yang berperanan aktif memperjuangkan hak serta kesejahteraan wanita. Antara penerima anugerah berprestij tersebut ialah YBhg. Datin Wira Goh Suet Lan, Presiden Pertubuhan Wanita Berdaya yang menerima Anugerah NGO Pemerkasa Komuniti Wanita, Puan Normah binti Shahrom, Pengurus Kanan Sumber Manusia Technocom System Sdn. Bhd. yang menerima Anugerah Syarikat Mesra Wanita, serta YBhg. Dato’ Hajah Rugayah Abdul Majid yang menerima Anugerah Ikon Wanita 2026.

Antara inisiatif utama yang diumumkan ialah pelaksanaan PRISMAnita sebagai pusat sehenti rujukan, sokongan dan advokasi wanita di seluruh negara, serta Skim Lindung Kasih yang menyediakan perlindungan sosial kepada suri rumah dengan insentif pengecualian cukai kepada penaja korporat. Kesemua usaha ini dilaksanakan seiring dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025-2030 yang memberi tumpuan kepada kepimpinan, ekonomi, keselamatan dan kesejahteraan wanita.

Kerajaan MADANI menegaskan bahawa wanita bukan sahaja tunjang keluarga dan masyarakat, tetapi juga pemacu kemajuan nasional. Masa depan Malaysia dibentuk oleh kekuatan, keberanian dan dedikasi wanita yang terus menyumbang kepada pembangunan negara.

Turut hadir isteri YAB Perdana Menteri, YABhg Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Maziah Che Yusoff, Jemaah Menteri, Perwakilan Asing serta Pegawai Kanan Kerajaan Jabatan Persekutuan dan Negeri.

ATAS
Accessbility Option