Terima kasih kerana melayari Portal Rasmi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Portal ini dalam tempoh pengujian. Portal ini mungkin akan memaparkan maklumat yang kurang tepat sepanjang tempoh ini, sebarang pertanyaan sila emelkan kepada ukk@kpwkm.gov.my. Sekian, terima kasih.

LENSA KPWKM

MAJLIS RAIKAN KECERIAAN KELUARGA DI KLIA TERMINAL 1

Program      10 April 2025      KLIA    

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa menyokong usaha semua pihak termasuk NGO dalam menambahbaik infrastruktur inklusif dan mesra keluarga terutamanya kepada kumpulan sasar Kementerian. YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat hari ini telah menyempurnakan Majlis Raikan Keceriaan Keluarga yang berlangsung di Terminal 1 KLIA.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy berkata, inisiatif Malaysia Airports dalam menyediakan pelbagai kemudahan mesra pengguna dan keluarga patut dijadikan contoh dan mendapat pujian. Antara kemudahan-kemudahan yang disediakan seperti berikut:

i. Laluan khas dan kaunter keutamaan untuk OKU dan warga emas
ii. Bilik penyusuan bayi dan ruang menukar lampin yang bersih dan selesa untuk ibu bapa dan anak-anak kecil
iii. Reka bentuk tandas mesra OKU, tanda arah yang jelas dan mesra OKU penglihatan
iv. Ruang menunggu yang selamat dan mesra keluarga.

Zon Kanak-kanak yang dilancarkan hari ini terletak di Pintu C30 di Sayap Selatan Bangunan Satelit menampilkan taman permainan bertemakan Orang Utan yang turut dilengkapi peti keselamatan dan ruang interaktif untuk kanak-kanak bermain di samping dapat memberi masa kepada ibu bapa untuk berehat sebelum menaiki pesawat. Selain itu, zon ini dilengkapi dengan gelongsor tiub lingkaran, pendaki batu, pendaki dinding, panel pembelajaran dan taman permainan untuk mengasah kreativiti kanak-kanak.

KPWKM juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Malaysia Airports atas komitmen berterusan dalam membantu menyediakan kemudahan kepada kumpulan sasar kementerian.

Turut hadir pada majlis hari ini ialah, YBhg. Dato’ Mohd Izani Ghani, Pengarah Urusan Malaysia Airport, YBrs Rosmahwati binti Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), YBrs. Puan Wan Noraidah binti Wan Mohd Zain, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) JKM, YBrs Tuan Haji Abdul Shukur Abdullah, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), YBrs. Puan Hanani binti Sapit, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan pegawai-pegawai kanan Kementerian dan Agensi.

Semoga kerjasama antara sektor korporat dan kementerian akan terus diperkukuh demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

ATAS
Accessbility Option